Siemens Malaysia derma 163 komputer riba terpakai kepada pelajar B40 | Dagang News Skip to main content

Siemens Malaysia derma 163 komputer riba terpakai kepada pelajar B40

SUKARELAWAN Siemes Malaysia dan MACO menyampaikan komputer riba terpakai kepada wakil sekolah untuk kegunaan pelajar kurang bernasib baik.

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Siemens Malaysia mendermakan 163 buah komputer riba terpakai kepada pertubuhan bukan kerajaan, Medical Awareness Camp Outreach (MACO) yang melaksanakan inisiatif Program Memperkasakan Komputer (CEP).

 

Inisiatif ini membekalkan komputer riba terpakai kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik daripada kumpulan B40 untuk kegunaan pembelajaran secara dalam talian di rumah mereka.

 

Wabak COVID-19 mengganggu proses pembelajaran setiap pelajar. Latar belakang sosioekonomi yang berbeza turut menyumbang kepada proses pembelajaran yang tidak sama rata antara mereka.

 

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, kira-kira 900,000 pelajar kekurangan peranti yang diperlukan untuk pembelajaran dalam talian dan ia menyebabkan mereka gagal untuk memperolehi akses kepada pendidikan yang diperlukan.

 

Melihat keadaan ini, MACO, sebuah pertubuhan kebajikan yang diasaskan sekumpulan doktor-doktor pakar dan sukarelawan bukan perubatan bertindak melancarkan program CEP.

 

Program ini membantu lebih ramai pelajar untuk mendapat peranti digital bagi aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

 

MACO mengumpul komputer riba terpakai dan sukarelawan-sukarelawannya membaik pulih komputer-komputer tersebut sebelum ia didermakan kepada pelajar-pelajar.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Adam Yee berkata, PKP dan wabak ini memberi pelbagai kesan kepada rakyat Malaysia dan Siemens ingin menghulurkan bantuan yang berguna kepada rakyat Malaysia.

 

"Kami percaya usaha sama dengan MACO ini akan memberi kesan yang positif bukan sahaja kepada pendidikan pelajar-pelajar tetapi juga kepada alam sekitar kerana ia memanjangkan hayat komputer-komputer ini.

 

"Selain daripada derma dari pihak syarikat, kami juga menyeru pekerja-pekerja kami untuk mendermakan komputer riba peribadi mereka yang tidak lagi digunakan. Ia satu peluang untuk mereka menyumbang secara peribadi kepada masyarakat dan mengamalkan 3R - Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), Recycle (Kitar Semula),” ujar beliau.

 

Selain daripada komputer riba, Siemens Malaysia juga mendermakan unit-unit komputer meja dan skrin komputer. Sehingga kini, 105 buah komputer riba terpakai didermakan kepada sekolah-sekolah berikut:

 

  • SMJK Chong Hwa (25 units)
  • SMJK Katholik PJ (20 units)
  • SMKL Methodist Sentul (10 units)
  • Methodist Boys' School, Kuala Lumpur (MBS) (10 units)
  • SMK (P) PUDU (15 units)
  • SJK (C) Kwong Hon (15 units)
  • SMK (L) Bukit Bintang (Bukit Bintang Boys Secondary School) (10 units)

 

Baki komputer riba akan didermakan kepada pihak-pihak yang memerlukannya tidak lama lagi.

 

Jurucakap MACO, Datin Dr. Low Pek See berkata, matlamat MACO selama ini adalah untuk meringankan beban dan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Seperti kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

 

Orang ramai yang berminat untuk menderma boleh menghubungi Presiden MACO, Dr. Toh Cheng Teik di tohchengteik@gmail.com.   

 

Kami di Siemens dan MACO ingin menyeru semua orang untuk turut serta dalam inisiatif ini bagi membantu lebih ramai pelajar untuk mendapatkan akses yang sama rata kepada pendidikan, terutama sekali dalam tempoh wabak ini. Kami menggesa lebih ramai orang untuk tampil menderma kepada Computer Empowerment Program (CEP),” kata Adam.  - DagangNews.com