Silver Ridge raih subkontrak bernilai RM1.9 juta bagi kerja-kerja pemasangan pagar pelindung laluan ECRL | DagangNews Skip to main content

Silver Ridge raih subkontrak bernilai RM1.9 juta bagi kerja-kerja pemasangan pagar pelindung laluan ECRL

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Silver Ridge Holdings Bhd menerusi Silver Ridge Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM1.87 juta daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd bagi kerja-kerja subkontrak pemasangan pagar pelindung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerja-kerja subkontrak itu melibatkan pembinaan dan penyiapan pagar pelindung tepi laluan kereta api dari CH 349+616.92 hingga CH364+214, Seksyen 6 bagi projek ECRL.

 

"Kerja-kerja subkontrak itu dijangka bermula pada 11 Mac 2024 dan siap sepenunya dalam tempoh lima bulan," katanya.

 

Silver Ridge berkata, kerja-kerja  itu tidak akan memberikan sebarang kesan material ke atas modal terbitan dan berbayar, pegangan saham pemegang saham yang besar, aset bersih sesaham dan penggearan syarikat.

 

Lembaga pengarah berpendapat bahawa subkontrak akan menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham dan pendapatan masa depan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utamanya atau orang yang berkaitan dengan pengarah dan pemegang saham utama syarikat mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak itu. - DagangNews.com