Sime Darby, Brunsfield Metropolitan setuju tamatkan usahasama Sime Darby Brunsfield Holding   | DagangNews Skip to main content

Sime Darby, Brunsfield Metropolitan setuju tamatkan usahasama Sime Darby Brunsfield Holding  

Senada di KLGCC Resort adalah projek terakhir usaha sama Sime Darby Brunsfield Holding Sdn Bhd
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Dis - Sime Darby Property Berhad dan Brunsfield Metropolitan Sdn Bhd secara bersama mengumumkan penamatan usaha sama Sime Darby Brunsfield Holding Sdn Bhd (SDBH).

 

Keputusan tersebut membubarkan usaha sama 60:40 pada nilai buku dan pengasingan berkuat kuasa mulai 8 Disember 2023, menurut syarikat itu dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

"Senada di KLGCC Resort adalah projek terakhir usaha sama itu. Berikutan penamatan usaha sama, Kumpulan akan meneruskan hala tuju perniagaannya.

 

"SDBH kini merupakan anak syarikat milik penuh Sime Darby Property dan akan dinamakan semula dalam tempoh terdekat.

 

"Penamatan usaha sama ini dijangka tidak memberi sebarang kesan material kepada prestasi kewangan Sime Darby Property," kata syarikat tersebut.


 

Sime Darby Brunsfield Holding Sdn Bhd

 


Sime Darby Brunsfield ialah perkongsian strategik yang dibentuk oleh dua nama besar dalam industri iaitu Kumpulan Sime Darby Group, syarikat multinasional terkemuka dan satu daripada konglomerat terbesar di Asia Tenggara.

 

Kumpulan Brunsfield pula adalah sebuah pemaju berasaskan teknologi pembinaan dan maklumat dan komunikasi yang sangat dihormati kerana banyak pencapaiannya yang memecahkan rekod.

 

"Usaha niaga Sime Darby Brunsfield ialah pakatan strategik yang menyatukan pelbagai kekuatan dan sumber kedua-dua pihak, memanfaatkan keupayaan unik dan kepakaran, pengetahuan dan pengalaman masing-masing," menurut satu laporan.

 

Sime UEP Properties Bhd dan Brunsfield Group telah mula bekerjasama dalam perkongsian usaha sama untuk membangunkan Subang Avenue, sebuah projek yang menampilkan pangsapuri servis dan kawasan runcit kelas atas seluas 250,000 kaki persegi di Subang Jaya.

 

Projek lain termasuk pembangunan Oasis Square yang mendapat sambutan baik yang telah siap pada 2009.

 

Perkongsian itu juga bekerjasama dalam projek di bank tanah Sime Darby di perbandaran Ara Damansara, dan berhampiran Kelab Golf dan Desa Kuala Lumpur, menurut laporan sebelum ini. - DagangNews.com