KUALA LUMPUR 8 Dis – Sime Darby Plantation Bhd. mengambil pendekatan serampang tiga mata ke arah mencapai pelepasan sifar bersih dalam keseluruhan rantaian nilai kumpulan menjelang 2050.
Syarikat perladangan gergasi itu juga telah menyelaraskan pelan tindakannya dengan sasaran Perjanjian Paris untuk mengehadkan kenaikan suhu global kepada tidak melebihi 1.5°C.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, komitmen yang dilaksanakan kumpulan adalah detik penting kepada industri minyak sawit global.
Katanya, kumpulan membangunkan strategi yang komprehensif bagi memastikan komitmen yang disasarkan mampu dicapai.
"Melalui peningkatan teknologi, kita mungkin dapat melakukan lebih baik lagi. Di Sime Darby Plantation, kami berbangga untuk menerajui piawaian dan amalan mampan dalam industri minyak sawit.
"Dengan komitmen bersih sifar kami hari ini, kumpulan akan terus bertindak dengan segera dan fokus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Strategi sifar bersih Sime Darby Plantation komited kepada 100% pengurangan pelepasan keseluruhan mutlak dalam Skop 1 dan 2 menjelang 2050, dengan semua pelepasan Skop 3 yang tidak berhenti diimbangi dengan jumlah penyingkiran atau pengimbangan karbon yang sesuai.
Pendekatan serampang tiga mata itu memberi tumpuan kepada mempercepatkan program tenaga boleh diperbaharui, tranformasi penggunaan tanah dan mempercepatkan libat urus dengan pembekal.
Di bawah strategi itu, kumpulan akan mempunyai lebih daripada 40 loji biogas di seluruh operasinya menjelang 2030, yang akan menangani kebanyakan pelepasan daripada efluen kilang.
Sime Darby Plantation juga akan mengembangkan inisiatif tanaman semula hutan, pemuliharaan dan biodiversiti sedia ada termasuk tanah pertanian tidak produktif serta penanaman pokok berskala besar sebagai penyelesaian berasaskan alam semula jadi untuk meningkatkan sinki karbon.
Sebagai contoh, kumpulan memutuskan untuk melaksanakan tanaman semula hutan membabitkan kawasan seluas 400 hektar ladang gambut di Malaysia Timur.
Setakat ini, ia mempunyai program penghutanan seluas lebih 40,000 hektar dengan lebih 1.9 juta pokok hutan telah ditanam.
Dalam pada itu, Sime Darby Plantation komited untuk melibatkan pembekal bagi memastikan pendekatan yang diambil bukan sahaja membabitkan operasinya tetapi merentasi keseluruhan rantaian nilai.
Strategi bersih-sifar kumpulan adalah berasaskan sains dan selaras dengan panduan terkini oleh SBTi, termasuk Panduan Hutan, Tanah dan Pertanian (FLAG) yang dilancarkan oleh SBTi pada 28 September 2022. - DagangNews.com