SIRIM Tech Venture - MIDA perkukuh kerjasama jangka panjang | DagangNews Skip to main content

SIRIM Tech Venture - MIDA perkukuh kerjasama jangka panjang

Memorandum Persefahaman antara SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah ditandatangani hari ini dalam satu majlis yang diadakan secara maya disaksikan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman.

 

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Sirim Tech Venture Sdn. Bhd. (STV), anak syarikat milik penuh Sirim Berhad, menjalin usaha sama bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan memupuk kerjasama perniagaan jangka panjang.

 

Melalui MoU tersebut, STV berharap dapat memanfaatkan hubungan perniagaan MIDA bersama pelabur, syarikat besar tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin meneroka inovasi. 

 

MIDA pula akan mempermudahkan petunjuk perniagaan kepada STV bagi projek yang berasaskan teknologi, selain memberikan nasihat kepada STV mengenai pembiayaan dan insentif kerajaan.

 

Sementara itu, STV menawarkan keupayaannya dari segi Penilaian Teknologi, Penilaian Harta Intelek (IP), Kajian Kelayakan Pasaran, Kebolehcapaian Pasaran dengan menghubungkan anak syarikat lain.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama ini antara lain, memberikan MIDA akses langsung kepada penyelesaian teknologi yang terdapat di Sirim.

 

Katanya, ini dapat dimanfaatkan oleh industri dan pelaburan ke atas teknologi baru dan masa depan melalui pelbagai pembiayaan untuk penggunaan produk atau teknologi bagi mencapai pertumbuhan yang dipacu dengan teknologi.

 

"Malah, industri akan menjadi penerima manfaat langsung dalam kerjasama tersebut. Melalui MIDA, kami berharap STV dapat bekerja bersama industri berskala sederhana. 

 

"STV mampu menyediakan khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada industri tempatan yang berpotensi dalam teknologi, mengesyorkan cadangan untuk penerapan teknologi Sirim, penyelesaian inovatif atau penggunaan teknologi lain kepada kumpulan sasaran tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Tambah beliau, melalui MoU itu penggunaan teknologi yang boleh diterokai meliputi bidang Industri 4.0, pembuatan mesin dan peralatan dan tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, teknologi persekitaran dan waste-to-wealth

 

MoU tersebut telah ditandatangani dalam sebuah majlis yang diadakan secara maya diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif STV, Ajmain Kasim manakala MIDA diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja. 

 

Majlis tandatangan tersebut turut disaksikan oleh Ahmad Sabirin dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman.

 

Kerjasama antara MIDA dan STV telah wujud sejak 2019, dengan MIDA menghubungkan STV kepada beberapa industri dan STV memainkan peranan aktif dalam menghubungkannya ke pusat teknologi lain atau anak syarikat Sirim.

 

Sementara itu, Ajmain berkata, STV dan MIDA sebelum ini pernah meneroka perniagaan dan penghubung bagi projek seperti pengedaran gas tenaga melalui sistem saluran paip maya, ujian rintis untuk pengeluaran BioNatural Gas dari loji Biogas, adaptasi IoT/IR4.0 dalam penelusuran dan pengesanan sistem pengurusan ladang durian dan lain-lain. - DagangNews.com