Sistem e-Tanah akan diperluas ke negeri lain menjelang 2024 - PM | DagangNews Skip to main content

Sistem e-Tanah akan diperluas ke negeri lain menjelang 2024 - PM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan bercadang untuk memperluaskan penggunaan Sistem e-Tanah menerusi kerjasama kerajaan dan swasta (PPP) bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah di negara ini setelah ia berjaya dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Perak.

 

Ini akan menyaksikan sistem itu akan dibangunkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan selewat-lewatnya menjelang 2024.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peluasan sistem ini akan memberikan impak yang positif dalam meningkatkan lagi produktiviti Malaysia di mata dunia, seterusnya menarik minat pelabur asing untuk menambah pelaburan di negara ini.

 

Lebih membanggakan, katanya, usaha negara dalam meningkatkan prestasi sektor awam diiktiraf Bank Dunia menerusi laporan Knowledge and Research pada 2017, The Malaysia Development Experience Series yang bertajuk Enhancing Public Sector Performance: Malaysia’s Experience with Transforming Land
Administration
untuk dikongsikan bersama negara-negara lain tentang kemajuan Malaysia dalam mentransformasikan pentadbiran tanah. 

 

Menerusi Laporan Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, pada 2020 Malaysia berada di kedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke-15 pada 2019, jelas beliau.

 

"Selain itu, Sistem e-Tanah ini turut meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada 2018 iaitu pencapaian Gold Award Public Sector di ASEAN ICT Award 2018 yang telah diadakan di Indonesia.

 

"Saya percaya, pelaksanaan Sistem e-Tanah ini juga akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara disamping meningkatkan hasil kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya," katanya.

 

Beliau berkata demikian sempena merasmikan Sambutan Hari Tanah Negara 2021 secara maya hari ini. Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

 

Sambutan Hari Tanah Negara buat kali ke-5 ini bertemakan 'Mendepani Cabaran Pasca COVID-19 dalam
Pentadbiran Tanah'.

 

Ia merupakan acara tahunan yang diadakan pada 27 Julai setiap tahun bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh negara yang bertungkus lumus dalam memastikan perundangan dan pentadbiran tanah sentiasa relevan serta selari dengan arus perdana pembangunan negara.

 

Sejak inisiatif pemodenan perkhidmatan pentadbiran tanah dijalankan seawal 1980, pentadbiran tanah terus diperkemas dan dipermodenkan seiring perkembangan teknologi terkini. 

 

Pada 2014, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem Pentadbiran Tanah Secara Eletronik iaitu Sistem e-Tanah menerusi PPP. 

 

Inisiatif yang melibatkan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan syarikat swasta ini, bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah. 

 

Menurut Perdana Menteri, sistem e-Tanah telah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 2017. 

 

Semasa peringkat awal pandemik COVID-19 melanda negara tahun lalu, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara atas talian dengan cekap dan selamat dengan adanya sistem ini.

 

"Berdasarkan kejayaan tersebut, sistem secara PPP ini iperluaskan pula ke Perak dan telah mula digunapakai pada Februari 2021. 

 

"Sistem e-Tanah Negeri Perak juga telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan telah dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan urusan pentadbiran tanah," tambahnya. - DagangNews.com