Sistem penyampaian kerajaan bersifat people centric, kurangkan birokrasi - PM | DagangNews Skip to main content

Sistem penyampaian kerajaan bersifat people centric, kurangkan birokrasi - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kerajaan akan memberi fokus menjadikan sistem penyampaiannya lebih bersifat people-centric dan memudahcara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi sebagai pembaharuan kepada penjawat awam dan juga lanskap baharu dalam organisasi awam.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi.

 

Beliau berkata, semua dapat melihat bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) disalurkan dalam tempoh paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021. 

 

"Buat pertama kali, kerajaan menyediakan 3 kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran atas talian.

 

"Kerajaan sentiasa menambah baik sistem penyampaian kerajaan dari semasa ke semasa melalui maklum balas dari semua pihak baik dari rakyat, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan termasuk juga Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. 

 

"Menyedari masih berlakunya kelemahan, kerajaan komited untuk membuat penambahbaikan yang akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan sistem ini sentiasa ditambah baik, katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, langkah diambil oleh kerajaan dipacu perkhidmatan awam yang cekap dan juga organisasi dinamik serta bersifat facilitative

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Dalam hubungan ini, saya akan memastikan supaya organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi. 

 

"Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa (business process re-engineering) bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang. Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan," katanya.

 

Katanya, kerajaan juga telah menggariskan agar sistem penyampaian perkhidmatan awam didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi. 

 

"Dalam memacu ekonomi digital Malaysia, kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mendokong transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau agar dapat memupuk serta membina masyarakat yang lebih progresif. Kita perlu menyediakan platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan (future proof)," katanya. - DagangNews.com