Sistem persaraan Malaysia ketiga terbaik Asia - Mercer | DagangNews Skip to main content

Sistem persaraan Malaysia ketiga terbaik Asia - Mercer

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Sistem pendapatan persaraan Malaysia diiktiraf sebagai ketiga terbaik di Asia, berdasarkan Indeks Persaraan Global Mercer CFA Institute tahunan ke-12.

Secara keseluruhannya, Malaysia berada di kedudukan ke-19 dengan nilai indeks 60.1.

Netherlands dan Denmark masing-masing kekal pada kedudukan pertama dan kedua serta dinilai sebagai gred A.

Malaysia disenaraikan bersama-sama United Kingdom (UK), Belgium, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis dalam gred C+ dengan nilai indeks antara 60 hingga 65. 

Gred C dan C+ bermaksud sebuah sistem yang mempunyai ciri-ciri baik, tetapi terdapat risiko utama atau kekurangan yang perlu diatasi. 

Bagaimanapun, nilai indeks keseluruhan Malaysia susut sedikit daripada 60.6 pada 2019 didorong beberapa pergerakan kecil dalam sub-indeks kemampanan. 

Dalam pada itu, sub-indeks laporan berkenaan meletakkan Malaysia di kedudukan ke-13 bagi kemampanan  yang mengukur kemungkinan sistem dapat menyediakan manfaat untuk masa depan.

Bagi sub-indeks integriti pula, Malaysia di kedudukan ke-18 yang mengambil kira beberapa faktor seperti kawal selia, tadbir urus, komunikasi dan kos operasi; dan kecukupan (31), yang melihat aspek manfaat, reka bentuk sistem, tahap simpanan dan pemilikan rumah untuk menentukan keupayaannya menyediakan pendapatan persaraan yang mencukupi.

Laporan itu mengkaji sistem pendapatan persaraan Malaysia berdasarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meliputi pekerja sektor swasta dan awam yang tidak menawarkan pencen.

Indeks itu dikaji ke atas 39 sistem pendapatan persaraan di seluruh dunia yang meliputi hampir dua pertiga daripada populasi dunia. - DagangNews.com