Siswa buka kedai perabot terpakai fizikal, pemasaran secara dalam talian   | DagangNews Skip to main content

Siswa buka kedai perabot terpakai fizikal, pemasaran secara dalam talian  

Kedai Perabot Terpakai Berkualiti Kedah milik Araliya Resources di Merbok, Kedah.

 

 

Oleh AIN HUSAIRI
editor@dagangnews.com

 

 

SHAH ALAM 13 Sept - Dengan hanya bermodalkan RM1,500, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Arliya Munif mengorak langkah seawal umur 18 tahun dalam industri perniagaan perabot terpakai.

 

Pelajar yang kini berusia 22 tahun ini bermula dengan menjual perabot terpakai yang diimport daripada Singapura dengan cetusan idea inovasi kitar semula perabot mengubah perabot terpakai menjadi lebih baik dan tampak baru sekaligus menambah nilai produk tersebut.

 

Hasilnya, Araliya Resources memberikan penekanan yang kuat pada pemilihan dan latihan kakitangan, serta proses pemilihan perabot terpakai. Teknik ini terbukti memberi manfaat berdasarkan reaksi dan kejayaan Araliya Resources pada 2019 dan 2020, setahun selepas mereka memasuki industri ini.

 

“Syarikat kami sentiasa berusaha untuk melebarkan potensi perniagaan ini serta memantapkan pengoperasian yang lebih baik agar bidang perusahaan seperti ini mampu dilihat sebagai pencetus kepada revolusi perniagaan yang mampu memberi impak sejagat. Kami juga sedar bahawa persaingan sentiasa ada di pasaran,” katanya kepada DagangNews.com baru-baru ini.

 

Arliya berkata, syarikatnya juga menumpukan perhatian kepada kaedah pemasaran baharu dalam menyampaikan maklumat khususnya kepada golongan sasaran kepada perniagaan ini.

 

Selain memilih aplikasi facebook sebagai medium pemasaran perniagaannya, salah satu strategi yang telah diguna pakai adalah menumpukan kepada sumbangan perniagaan mereka kepada masyarakat setempat.

 

Baru-baru ini, Araliya Resources melancarkan kempen bakul makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu masyarakat setempat yang memerlukan pertolongan impak daripada pandemik COVID-19.

 

Berkat dengan model perniagaan yang kukuh dan lestari, Araliya Resources pada tahun pertama operasinya pada 2018 telah mencatatkan hasil sebanyak enam angka yang merupakan satu pencapaian mengagumkan buat perusahaan atau syarikat baharu.

 

 

arliya
Arliya Munif 

 

 

Didorong oleh penawaran nilai yang dikehendaki pelanggan, Araliya Resources mencatatkan hasil kira-kira dua kali ganda pada tahun kedua operasinya iaitu sebanyak tujuh angka pada tahun 2019.

 

Lebih mengagumkan, hasil Araliya Resources masih konsisten mencatatkan tujuh angka pada tahun seterusnya sekaligus menunjukkan kemajuan dalam pengoperasian Araliya Resources.

 

Sebagai seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), banyak ilmu yang telah dipelajari sepanjang kuliah telah dipraktikkan di dalam perniagaan beliau.

 

“Saya berkeinginan untuk menjadi inspirasi kepada semua pelajar universiti yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan atau menjalankan perniagaan sewaktu menuntut di universiti.

 

‘’Selain itu, saya berharap dapat memberikan satu dimensi baru kepada pelajar universiti yang masih berpendapat bahawa menjalankan perniagaan sewaktu pengajian adalah terbatas,” kata Arliya.

 

 

araliya
ANTARA perabot yang dijual di Kedai Perabot Terpakai Berkualiti Kedah yang diusahakan oleh Araliya Resources di Merbok, Kedah.

 

 

Dengan rekod jualan dan keuntungan sepanjang tiga tahun ini, Araliya ingin menarik lebih banyak pelajar universiti untuk meneroka pelbagai bidang perniagaan lagi yang berpotensi.

 

Tidak lengkaplah jika kejayaan tidak diuji dengan pelbagai liku-liku. Arliya juga mengaitkan perjalanan perniagaan dengan pepatah Melayu: ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.’

 

Sudah tentu, Araliya Resources telah mengalami beberapa rintangan semasa operasinya. Salah satunya adalah ketersediaan perabot yang terhad. Ekonomi negara merudum pada tahun 2020 akibat wabak COVID-19, yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa sejak Mac 2020. Namun, ini tidak melemahkan semangat dan sebaliknya mendorong Araliya Resources menjadi lebih canggih melalui penggunaan teknologi digital.

 

Pencapaian dan kejayaannya dalam perniagaan telah mendapat reaksi membina dari keluarga, rakan, dan dirinya sendiri.

 

 "Kedua-dua ibu bapa saya tidak pernah jemu memberi saya kata-kata motivasi setiap hari, dan saya percaya bahawa jika bukan kerana doa dan restu mereka, saya tidak akan sampai sejauh ini." Dorongan ini melebarkan sayapnya untuk berkembang di sektor ini,’’ kata Arliya lagi.

 

Anak Jati Kedah ini berharap perniagaannya sentiasa dalam keadaan baik dan terkenal bukan sahaja di kalangan pengguna tempatan tetapi juga di peringkat global. – DagangNews.com