Situasi Menang-Menang bila Kerajaan dan PH meterai MoU | DagangNews Skip to main content

Situasi Menang-Menang bila Kerajaan dan PH meterai MoU

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

SEBAGAI seorang yang tidak berpolitik dan sebagai OKU saya amat tertarik dengan inisiatif terbaharu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub. Dengan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan bagi memujuk Pakatan Harapan (PH) supaya bertemu dengan beliau di meja perundingan.

 

Perjanjian ditandatangani di bangunan Parlimen. MOU ini sejajar  dengan titah YDP Agong supaya semua pihak membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap.

 

Agong bertitah agar semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah. Untuk mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia makmur, inklusif dan mampan.

 

Selain agar suhu politik dapat diturunkan dan kestabilan politik dapat tercapai untuk seketika sebelum PRU. Selain PH tidak menjatuhkan Ismail Sabri dalam waktu sekarang.

 

Menurut Ismail Sabri, MOU merangkumi bidang berikut:

  • Pemerkasaan Pelan COVID-19
  • Transformasi Pentadbiran
  • Pembaharuan Parlimen
  • Kebebasan Institusi Kehakiman
  • Perjanjian Malaysia MA63
  • Pembentukan Jawatankuasa Pemandu

 

Langkah baik

Saya bersetuju dengan Ismail Sabri, transformasi kerajaan untuk memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat. Melangkaui pelbagai latar agama, bangsa, dan adat budaya dalam konteks Keluarga Malaysia selepas 64 tahun merdeka.

 

Saya yang mula berdemonstrasi demi reformasi mendapati cadangan untuk teras atau sebahagian dari agenda reformasi Parlimen.

 

Tawaran Ismail bersifat prinsip dan perjuangan untuk PH. Berbeza dengan tawaran jawatan untuk para ahli Parlimen yang ditawarkan masa Muhyiddin untuk Ahli Parlimen BN dan PN.

 

Saya mungkin penyokong PH yang melihat banyak kerosakan dilakukan sebelum ini terutama dengan rasuah dan penyelewengan wang rakyat. Malah rasuah turut diamalkan oleh belia dengan angka 55%.

 

Daripada dapatan kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan bahawa jumlah belia yang terlibat dalam gejala rasuah sejak 2018 tidak berubah.

 

Persepsi

Pada hari bertukar kerajaan kepada Umno dengan pemimpin yang sama kita masih dapat mengagak rasuah terus berlaku dan makin hebat. Penyeleweng wang rakyat di sektor awam terus terjadi dan berapa banyak wang yang boleh diselamatkan.

 

Saya melihat PH telah bersedia di meja perundingan dan prinsip-prinsip ini yang PH perjuangkan sedangkan Umno masih diam dalam bab rasuah bila ramai pemimpinnya ke mahkamah.

 

Ismail tidak mahu kerajaannya tergugat dan meminta jaminan demi mempastikan kerajaan yang ada stabil sehingga pilihan raya umum akan datang. Ismail juga tidak mahu berlaku undi tidak percaya, menolak Belanjawan dan tidak menggugat.

 

Sebelum Belanjawan atau Rang Undang-Undang baharu dibentangkan  akan dibincang dan dipersetujui secara prinsip terlebih dahulu oleh PH.

 

Ismail tidak menghalang PH daripada mengkritik dan membantah tindakan kerajaan dalam semua persoalan jika menyeleweng dari tuntutan demokrasi dan keadilan.

 

Biarlah PH tidak berkuasa dengan para pengkhianat dan penunggang agama  kekal bersama tanpa hilang jawatan.

 

Tunggu PRU15

PRU15 tidak lama lagi dan politiking mesti diakhiri , ditamatkan. Kita boleh menumpukan kepada persoalan menangani pandemik dan kemerosotan ekonomi serta masalah kehidupan rakyat yang makin membebankan.

 

Ismail membuat tawaran reformasi kepada sistem yang ada sebagaimana yang diperjuangkan oleh PH. Ini perlu difahami oleh penyokong sebagaimana antara manifesto yang dicadangkan sebelum PRU14 dan Ismail terpaksa membuatnya untuk kepentingan kerajaannya.

 

Bibit-bibit harapan kepada usaha melaksanakan sistem dua parti secara tidak langsung kembali tercetus tetapi masih terlalu awal untuk diramalkan. Realiti politik negara masih terikat kepada sistem kepartian berasaskan bangsa.

 

Masalah politiking berterusan berpunca daripada sistem amalan politik yang lapuk, konservatif dan tidak sesuai dengan semangat demokrasi moden. Bagi menghindari politik bobrok yang usang, komitmen perlu berada sewajarnya untuk merealisasikan pelaksanaan sistem dua parti.

 

Parti-parti pembangkang lain mesti melihat lebih dekat, mencontohi keterbukaan PH serta tidak sepatutnya meminggirkannya. Kita lihat parti-parti pembangkang lain ke arah mana.

 

Perjanjian perlu dipersetujui oleh masyarakat sivil untuk memastikan semua pihak berada pada landasan sama.  Penting untuk membina amalan demokrasi dinamik, matang, progresif dan mengutamakan kepentingan rakyat yang kegusaran dengan pandemik.

 

Kerajaan akan memastikan pendapat pihak pembangkang turut diambil kira melalui pelaksanaan sistem dua parti. Bersesuaian dengan peranan semak dan imbang terhadap sebarang pelaksanaan polisi kerajaan yang dilakukan.

 

 

PM

 

 

Adakah ini menguntungkan Ismail Sabri?

Secara tidak langsung dengan kesan daripada perjanjian MoU dimeterai. PH mungkin menganggap satu strategi ampuh untuk menunjukkan mendahului kepentingan rakyat pada saat krisis yang berlarutan.

 

Mungkin PH  dilihat lemah kerana begitu cepat menerima tawaran Ismail Sabri untuk menandatangani.

 

Ismail Sabri sebagai seorang Perdana Menteri yang mampu menyatukan semua pihak pada saat krisis Covid-19 dan kegawatan ekonomi. Seolah mengulangi keajaiban dillakukan Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1971 yang bersejarah.

 

Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 memutuskan 'No Anwar, No DAP’ dan bertukar kepada sebaliknya.

 

Namun saya fikir perjanjian MoU satu bibit permulaan baik untuk kita mewujudkan sistem demokrasi lebih matang dan progresif.

 

Ini adalah menang-menang untuk semua sementara waktu sebelum PRU15. Kita perlukan reformasi dari segi peraturan dan perundangan dengan kepimpinan yang komited kepada prinsip-prinsip reformasi. Sebelum reformasi boleh dilaksanakan sepenuh dengan jaya dan gah untuk keadilan semua.

 

Sebagai OKU saya mengharapkan akan ada calon OKU untuk rakyat yang memenuhi 15% dari penduduk, iaitu 4.7 juta orang di Parlimen. 

 

 

DISCLAIMER : Pandangan penulis di atas tidak semestinya mencerminkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com