Situasi semasa pandemik boleh jejaskan prospek - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Situasi semasa pandemik boleh jejaskan prospek - MIDF Research

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Indeks Pelopor (IP) Malaysia yang berkembang pada kadar 8.2% tahun ke tahun pada Januari 2021, adalah yang tertinggi sejak September 2020. 

 

Ini secara tidak langsung memperlihatkan prospek pertumbuhan yang lebih positif bagi bulan-bulan akan datang di sebalik pertumbuhan awal 2021 yang agak perlahan susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

MIDF Research menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih luas akan terus pulih seperti disarankan oleh trend IP yang menunjukkan prospek ekonomi jangka pendek tetap optimis. 

 

"Langkah kerajaan melonggarkan PKP 2.0, program vaksin COVID-19 yang masih berjalan (bermula 24 Februari) dan tambahan rangsangan fiskal akan menggalakkan jangkaan terhadap pemulihan ekonomi. 

 

"Bagaimanapun, kebimbangan masih kekal menyelubungi situasi pandemik ketika ini terutama potensi berlakunya gelombang baharu boleh menjejaskan langkah pemulihan," katanya dalam nota kajian hari ini.  
 

Malaysia merekodkan IP yang lebih baik pada Januari berbanding 7.6% pada Disember 2020 disokong oleh peningkatan secara konsisten indeks perindustrian Bursa Malaysia terutamanya indeks penjagaan kesihatan serta pengangkutan dan logistik.

 

Berdasarkan asas bulan ke bulan, IP berkembang 0.7% berbanding -0.2% pada Disember 2020 yang mana sebahagian besarnya disebabkan jangkaan nilai penjualan bagi sektor pembuatan.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Rabu berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin kekal di atas trend yang menunjukkan bahawa prospek ekonomi Malaysia jangka pendek kekal optimis, selari dengan inokulasi vaksin. 

 

Selain itu, langkah-langkah pengekangan ekonomi yang semakin mereda meningkatkan harapan untuk mengawal kesan terhadap ekonomi.

 

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Serentak (IS) turun 0.4% untuk mencapai 111.0 mata pada Januari 2021 daripada 111.4 mata pada bulan sebelumnya. 

 

Ini disokong oleh penurunan yang signifikan Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (-0.5%). - DagangNews.com