Skandal OPV APMM, satu lagi kegagalan projek pembinaan kapal negara | DagangNews Skip to main content

Skandal OPV APMM, satu lagi kegagalan projek pembinaan kapal negara

OPV 2 yang masih dalam proses pembinaan. - sumber foto media sosial
ANALISIS BERITA oleh ZAKI SALLEH

KELEMAHAN tata urus akhirnya menjawab persoalan tentang isu kelewatan menyiapkan kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Januari, berhubung status terkini projek yang dilaksanakan syarikat tempatan iaitu THHE  Destini Sdn. Bhd. itu sangat mendukacitakan.

 

Kerajaan terpaksa menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan pembinaan kapal pertama atau OPV 1 disiapkan tahun ini setelah projek itu diambil alih Kementerian Kewangan (MOF).


 

OPV
OPV 1 yang diberi nama KM Tun Fatimah setelah dilancarkan ke air pada Oktober 2022.

 


Ia umpama kerajaan membayar kepada kerajaan untuk menyelamatkan projek yang disebabkan kelemahan syarikat dilantik.

 

Berdasarkan pada kenyataan Perdana Menteri, jumlah pinjaman yang diberi ini adalah kira-kira 21 peratus daripada anggaran kos kasar sebuah OPV.

 

Persoalannya pula ialah bagaimana dengan  pembinaan dua buah lagi OPV dan jika benar ia membabitkan isu kewangan maka kos pembinaan kapal ini telah bertambah.

 

Lebih mengecewakan apabila pembinaan OPV 2  berjalan sangat perlahan dengan anggaran prestasi kerja hanya 50 peratus manakala OPV 3 masih pada peringkat asas.

 

OPV 1 hanya berjaya dilancarkan ke air pada 11 Oktober tahun lalu di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) di Pelabuhan Klang, Selangor setelah cubaan sebelumnya tidak berjaya.


 

OPV
KM Bagan Datuk semasa ditauliahkan dalam aset APMM pada tahun 2017

 


Difahamkan, ketika ini OPV 1 sedang melalui proses menguji sistem kelengkapan, fasa ujian di laut serta menyediakan latihan kepada kru kapal selama tiga bulan sebelum diserahkan kepada APMM.

 

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai THHE pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020. 

 

Ia merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

 

Syarat kontrak pula menetapkan supaya THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman dalam pembinaan kapal.

 

THHE ketika itu merupakan anak syarikat pelaburan Tabung Haji yang menjalankan perkhidmatan baikpulih dan membekal alat ganti untuk industri minyak dan gas.

 

Jadi, menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai latar belakang dan pengalaman dalam pembinaan kapal adalah sesuatu yang meragukan.


 

OPV

 


Sewaktu pembinaan OPV dimulakan, THHE bekerjasama dengan Destini Sdn. Bhd. menerusi peratusan pegangan dalam projek masing-masing 49 peratus dan 51 peratus.

 

Bagaimana pun, pada April 2021 THHE telah mengambil alih kesemuanya pegangan Destini Sdn. Bhd.

 

Kelewatan penyerahan ini juga telah menimbulkan cakap-cakap dalam kalangan industri mengenai kemampuan sebenar syarikat sehingga meyakinkan kerajaan untuk dianugerahkan kontrak.

 

Ini memandangkan THHE telah diberi satu tempoh yang lama untuk menyiapkan kapal berkenaan.

 

Sepanjang kelewatan ini, timbul spekulasi adakah pemberian kontrak ini mempunyai unsur-unsur campur tangan politik kerana tidak melihat kepada keupayaan syarikat serta pengalaman yang dimiliki.

 

Andaian itui juga berasaskan kepada projek atau kontrak perolehan yang dianugerahkan mengikut tender dan bukan rundingan terus berjaya diserahkan mengikut jadual.

 

Antaranya perolehan enam kapal peronda kelas Bagan Datuk yang diberikan kontrak kepada syarikat Destini Marine Sdn. Bhd. pada Disember 2015 bernilai RM381.3 juta.


 

enam kapal peronda kelas Bagan Datuk

 


Kapal sepanjang 45 meter dengan berat 300 tan berasaskan rekaan kapal Fassmer dari Jerman dilengkapkan dengan sistem UAV Fulmar dari model Thales bagi membuat pengawasan udara.

 

Begitu juga pembelian 30 bot jenis Rigid Hull Fender Boat (RHFB) kelas Perkasa bernilai RM46.5 juta yang mana sebanyak 27 bot telah diterima.

 

Bot berukuran 12 meter panjang itu ditempatkan di beberapa pangkalan APMM dalam usaha memperkasa penguatkuasaan di perairan negara.


 

Rigid Hull Fender Boat
Rigid Hull Fender Boat

 

 

Dilema OPV, LCS

Sebelum ini, kelewatan projek OPV mendapat perhatian umum apabila membandingkannya dengan isu pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Program LCS dengan kos RM9 bilion yang sepatutnya siap empat tahun lalu masih tergantung dan kini memasuki masa mobilisasi untuk disambung pembinaannya.

 

Perkembangan mutakhir projek OPV ini menyebabkan APMM berada dalam dilema apabila harapan untuk mengoperasikan kapal peronda termoden terus samar-samar.

 

Apatah lagi dengan situasi semasa di Laut China Selatan serta kekangan untuk melaksanakan operasi maritim lain.


 

OPV
Skandal OPV dan LCS menimbulkan persoalan tentang kemampuan industri maritim tempatan.

 


Sepertimana TLDM, APMM juga berhadapan isu terpaksa bergantung pada kapal-kapal dan bot peronda lama yang berusia lebih 30 tahun.

 

Ini kerana sebahagian besar aset-aset APMM merupakan kapal dan bot peronda terpakai yang mana kemampuan untuk beroperasi lama adalah terhad.

 

Disebabkan itulah, kerajaan pada tahun 2017 meluluskan perolehan tiga buah OPV ini demi memperkasakan fungsi APMM.

 

Bagaimana pun, menganugerahkan kontrak secara rundingan terus tidak akan menjadi isu sekiranya syarikat tempatan tersebut benar-benar mampu dan mempunyai kepakaran seperti dikehendaki. - DagangNews.com