Skim pengakuan sukarela secara formal amat diperlukan Jabatan Kastam - Deloitte | DagangNews Skip to main content

Skim pengakuan sukarela secara formal amat diperlukan Jabatan Kastam - Deloitte

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 16 Sept. - Cadangan kerajaan untuk melaksanakan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung dilihat sebagai keperluan penting bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sekali gus menjadikan pengurusan cukai lebih efisien pada masa depan.

 

Ini kerana menurut Ketua Cukai Tidak Langsung Deloitte Malaysia, Tan Eng Yew, JKDM setakat ini tidak mempunyai skim pengakuan sukarela yang formal untuk perniagaan mendedahkan kesilapan dan mendapatkan pengecualian penalti.

 

Katanya, keadaan ini menyebabkan setiap pendedahan yang dibuat akan diuruskan berdasarkan kes dan tidak ada garis panduan diterbitkan sama ada bila atau jika JKDM mengecualikan penalti berkenaan. 

 

"Kelemahan dari segi proses atau prosedur formal mengenai pengecualian penalti boleh menjadi penghalang kepada perniagaan untuk membuat pengakuan kepada JKDM memandangkan tiada jaminan penalti akan dikecualikan atau mungkin mencetuskan audit," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Tan Eng Yew
Tan Eng Yew

 

 

 

SVDP merupakan antara cadangan dikemukakan kerajaan dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) minggu lalu. 

 

Ia merupakan sebahagian daripada langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.

 

Melalui program ini, pembayar cukai digalakkan tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM.

 

Cukai tidak langsung yang ditadbir JKDM ini meliputi cukai jualan dan perkhidmatan (SST), duti kastam dan eksais dan cukai pelancongan.

 

Eng Yew berkata, meskipun belum ada butiran terperinci mengenai cadangan SVDP ini, tetapi jika ia mengandungi matlamat JKDM yang jelas, untuk mengetepikan penalti ke atas pengakuan yang dibuat dan tidak perlu menjalankan audit tidak kira apa jua latar belakang kes berkenaan, maka cadangan ini dilihat agak menarik kepada perniagaan. 

 

"Syarikat sentiasa cuba dan melakukan yang terbaik untuk memenuhi syarat pematuhan. Jadi, memandangkan cukai tidak langsung dikenakan berdasarkan urus niaga (import atau pengeluaran barangan, penyediaan perkhidmatan), adalah mudah kesilapan terjadi dan untuk itu, kesalahan akan terkumpul ini membabitkan beberapa transaksi sebelum ia ditemui," jelas beliau.   

 

Tambahan pula, katanya, ia tidak membantu kerana undang-undang dan garis panduan berkaitan adalah kompleks dengan tafsiran dan pelaksanannya sentiasa berubah dari semasa ke semasa. 

 

Dalam hal ini, menurutnya, adalah mudah untuk terjadi sesuatu yang mengelirukan dan membuat kesilapan apabila berurusan dengan peraturan yang kompleks ini.

 

"Lebih malang, risiko untuk membuat kesilapan ini adalah tinggi tanpa adanya proses pengakuan sukarela secara formal. 

 

"Sehubungan itu, pengumuman cadangan ini sepatutnya meningkatkan pematuhan dalam kalangan syarikat di negara ini," katanya. - DagangNews.com