SKMM minta Facebook, Twitter & YouTube buang iklan raya judi | DagangNews Skip to main content

SKMM minta Facebook, Twitter & YouTube buang iklan raya judi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)


Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berkomunikasi dengan pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan iklan raya judi.

 

SKMM berkata, permintaan itu dibuat susulan tularnya iklan yang mengajak umat Islam di negara ini berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Jelas SKMM, rundingan yang dibuat itu adalah mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak penyedia platform media yang berpangkalan di luar negara.

 

"Pada masa yang sama, pihak yang terlibat seperti pihak produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan.

 

"Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia  untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan. 

 

"Dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk," jelas SKMM dalam satu kenyataan hari ini.

 

SKMM sejak 12 Mac lalu juga telah mengoperasikan tindakan sekatan secara laluan pantas ('fast-track') dengan mengupayakan pihak PDRM mengarahkan penyedia perkhidmatan internet untuk menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang.

 

Kegiatan judi dan promosi judi dalam talian adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, di bawah bidang kuasa PDRM.

 

Dalam kenyataan yang sama, SKMM turut berpesan kepada pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara sedemikian secara terus dan tidak menyebarluas kandungan berkenaan.

 

Ujar SKMM lagi, perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia. - DagangNews.com