TERBAHARU 28 FEBRUARI 2023: Mohamad Salim Fatih Din dilantik sebagai Pengerusi SKMM baharu
KUALA LUMPUR 5 Jan — Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din telah meletak jawatan sebagai pengerusi sementara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas hanya setengah tahun dilantik.
Peletakan jawatan itu disahkan oleh jabatan komunikasi korporat SKMM kepada Malay Mail dalam satu kenyataan e-mel hari ini, tanpa menjelaskan sebab atau tarikh sebenar.
“Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Sementara SKMM.
“Pelantikan pengerusi SKMM adalah di bawah bidang kuasa Menteri Komunikasi dan Digital. Pengumuman mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh Menteri dalam masa terdekat,” katanya.
“Dengan kepimpinan kanan yang kukuh, SKMM terus menjalankan tugasnya dalam mengawal selia dan mempromosikan industri telekomunikasi, penyiaran, pos dan kurier khususnya mengimbangi dan melindungi kepentingan keseluruhan pengguna, industri dan pelabur,” tambahnya.
Mohamad Salim, 64, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ahli suruhanjaya SKMM dari 2010-2014 dan sekali lagi pada 1 Januari tahun lalu sebelum dilantik semula sebagai pengerusi sementara pada 10 Jun 2022.
Beliau juga merupakan ahli panel perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, serta naib pengerusi eksekutif semasa Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB).
Sebelum menyertai MRCB, beliau merupakan pengasas dan pengarah urusan kumpulan Gapurna Sdn Bhd.
Beliau juga sebelum ini memegang jawatan pengerusi bukan eksekutif di Giant Malaysia dan British American Tobacco (Malaysia) Bhd, dan mempengerusikan Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan. - DagangNews.com