SME Bank tingkat faedah kakitangan bukan eksekutif | DagangNews Skip to main content

SME Bank tingkat faedah kakitangan bukan eksekutif

KUALA LUMPUR 16 Mac – Seramai 153 kakitangan bukan eksekutif SME Bank bakal menerima manfaat apabila bank tersebut secara rasmi telah memperbaharui Perjanjian Kolektif (CA) dengan Kesatuan Sekerja Komersial Kebangsaan (NUCW) yang mewakili Kesatuan Sekerja SME Bank bagi tempoh Julai 2019 hingga Jun 2022.

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, penambahbaikan yang dimasukkan di dalam CA termasuklah kenaikan gaji pokok, semakan semula faedah perubatan dan kemasukan ke hospital, skim bantuan pemilikan motosikal serta faedah bersalin.

 

Katanya, rangka Kerja Ganjaran dan Faedah Bank yang baharu ini dilihat akan mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi yang diamalkan oleh SME Bank.

 

"Selain itu, inisiatif ini akan membantu kakitangan terlibat menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Perjanjian Kolektif SME Bank ini telah ditandatangani antara Aria Putera dan Ketua Perhubungan Perusahaan SME Bank, Muhammad Razif yang mewakili pengurusan SME Bank bersama Pengerusi AJK Dalaman NUCW SME Bank, Saipul Mat Ramli dan Yusli Abdul Rafat yang mewakili kakitangan SME Bank.

Mewakili NUCW pula ialah Presiden, Muhammad Safizan Seman dan Setiausaha Agung, Jil Afril Jamaluddin. 
Majlis tersebut disaksikan Setiausaha Eksekutif NUCW, T.M. Rajeswaran dan Ketua Penyelesaian Prestasi & Keupayaan SME Bank, Muhammad Rashdan Kamaruddin.

 

 

sme bank
Perjanjian Kolektif antara SME Bank dengan Kesatuan Sekerja Komersial Kebangsaan (NUCW) ditandatangani dalam satu majlis yang diadakan hari ini.

 

 

Sementara itu, Saipul Mat Ramli berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan bank kerana telah berjaya mengekalkan hubungan harmoni antara kedua-dua pihak. 

 

Malah, katanya, bank juga sentiasa memastikan kebajikan dan keperluan pekerja bukan eksekutif, dijaga dengan baik.

 

"Penambahbaikan CA ini akan menjadi pembakar semangat untuk kami terus memberi yang terbaik kepada SME Bank," jelasnya.

 

Untuk meningkatkan kemahiran kakitangan bukan eksekutif, SME Bank sejak tahun lalu turut menganjurkan ‘Program Upward Mobility’ membabitkan 50 kakitangan melalui kerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). 

 

Selain itu, seramai 15 kakitangan ‘Top Talents’ daripada kategori eksekutif dan ke atas telah ditaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia.

 

SME Bank kini mempunyai 1,064 orang kakitangan dan beroperasi melalui 26 buah cawangan di seluruh negara. - DagangNews.com