KUALA LUMPUR 28 Okt - SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR) mengumumkan kerjasama strategik dengan ekosistem jualan kereta terpakai dalam talian Malaysia, myTukar dengan sasaran untuk meningkatkan kelestarian dalam rangkaian mobiliti Malaysia.
Dengan memanjangkan jangka hayat kereta menerusi sistem tukar beli dan pengubahsuaian cekap myTukar, kedua-dua syarikat itu berhasrat untuk mengurangkan impak pelepasan kilang daripada setiap kereta yang dikeluarkan.
Dengan kerjasama strategik ini, myTukar akan membantu proses tukar beli secara menyeluruh, daripada awal urusan pembelian dan kertas kerja sehingga ke proses pengubahsuaian dan jualan akhir.
Sementara itu, SOCAR akan menjual 140 unit kenderaan segmen B kepada myTukar dan kemudiannya, membeli 150 unit model kenderaan terpakai yang diperakui myTukar, seperti Proton X70 dan Honda Civic.
Kedua-dua syarikat itu berusaha untuk membentuk kitar hayat dan ekosistem yang lebih lestari dalam pasaran kereta terpakai Malaysia. Kerjasama ini akan memanjangkan lagi hayat kereta lama yang sudah terpakai, berbanding pilihan memusnahkan kenderaan yang sememangnya selamat dan masih boleh digunakan lagi.
Pada masa yang sama, SOCAR dapat menaik taraf rangkaian kereta mereka secara lestari dan terus menyediakan kenderaan yang selesa dan selamat untuk disewakan.
Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia, Shylendra Nathan berkata, pihaknya mengalu-alukan myTukar sebagai rakan baharu dalam usaha meningkatkan kelestarian sektor mobiliti Malaysia, yang akan tercapai menerusi sinergi dalam kerjasama ini.
"Dengan unjuran pertumbuhan yang mantap dalam pasaran kereta terpakai Malaysia untuk tempoh tiga tahun yang akan datang, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 10%, SOCAR melihat potensi dalam mengembangkan rangkaian kenderaan kami dengan kerjasama ekosistem yang dipercayai seperti myTukar.
"Menerusi kepakaran dan pendirian mereka terhadap standard kepercayaan dan keselamatan yang tidak berbelah bagi, myTukar telah memberikan keyakinan kepada kami untuk menambah kereta terpakai ke dalam rangkaian kenderaan kami. Inilah cara bagaimana kerjasama kita dapat menawarkan pilihan mobiliti yang lestari dan mampu dimiliki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Derrick Eng pula berkata, kereta lama mempunyai reputasi yang kurang baik kerana sering dianggap ‘kuat makan minyak’ dan mengeluarkan gas berbahaya.
Beliau berkata, kereta baharu tidak semestinya menjadi penyelesaian akhir, kerana jejak karbon bagi setiap kereta baharu yang dihasilkan masih signifikan.
"myTukar menyokong penuh penyelesaian mobiliti lestari, dan kerjasama ini selari dengan hasrat kami untuk mengurangkan pelepasan kilang yang berbahaya dan keseluruhan jejak karbon dengan melanjutkan lagi tempoh penggunaan sesebuah kereta.
"Kami juga mahu mengubah persepsi rakyat Malaysia terhadap kereta terpakai, bermula dengan para pengguna SOCAR yang berpeluang untuk mengalami sendiri bagaimana kereta-kereta yang dijamin selamat, boleh dipercayai dan selesa.
"Ini kerana semua kereta yang diperakui myTukar telah melalui proses pemeriksaan 160-point dan pengubahsuaian yang menyeluruh, dan ianya setanding yang baharu," katanya.
myTukar turut komited dalam memastikan bahawa model kelangsungan perniagaan SOCAR berjalan lancar, dengan menyediakan pakej servis eksklusif untuk SOCAR, termasuk tempoh baik pulih pantas dan lorong keutamaan.
Ini dapat membantu dalam meminimumkan waktu tergendala dan kekurangan kereta, dan pengguna SOCAR akan dapat menikmati kualiti serta standard kereta yang diperakui myTukar secara konsisten. - DagangNews.com