SOCAR terima pelaburan sekitar RM230 juta kembangkan operasi di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

SOCAR terima pelaburan sekitar RM230 juta kembangkan operasi di Asia Tenggara

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR) telah memeterai perjanjian pelaburan berjumlah AS$55 juta atau sekitar RM229.57 juta menerusi aktiviti pendanaan Siri B syarikat itu baru-baru ini.

 

SOCAR, yang sekarang dianggarkan bernilai AS$213 juta atau sekitar RM889.06 juta, bakal menerima suntikan ekuiti serta modal daripada syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, EastBridge Partners, serta pelaburan daripada syarikat multinasional Malaysia, Sime Darby Berhad.

 

Pelaburan ini, menjadikan jumlah pendanaan yang diterima oleh SOCAR setakat ini bernilai AS$73 juta atau sekitar RM304.70 juta dan akan digunakan bagi membantu usaha mengembangkan lagi operasi mobiliti multiflex syarikat itu di Asia Tenggara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia, Leon Foong mengalu-alukan penyertaan rakan kongsi baharu EastBridge Partners dan Sime Darby Berhad dalam usaha mengembangkan lagi operasi SOCAR bagi membawakan mobiliti multiflex ke lebih banyak lagi negara di Asia Tenggara.

 

Leon Foong
Leon Foong

 

“Bagi kami di SOCAR, hakikat bahawa kami berjaya menarik rakan ekuiti yang sedia bekerjasama dalam mengembangkan lagi perniagaan semasa pandemik global ini membuktikan keyakinan rakan kongsi kami terhadap kepimpinan SOCAR di dalam sektor perkongsian kereta dan keupayaan kami untuk mengembangkan lagi perniagaan pengguna-kepada-pengguna TREVO ke seluruh rantau ini.

 

“Kami berasa gembira kerana dapat mengeratkan lagi hubungan dengan Sime Darby, susulan kerjasama sedia ada dengan bahagian Motornya, menerusi peluasan kerjasama strategik kami kepada kerjasama berasaskan kepentingan ekuiti.

 

“Kami akan menggunakan dana ini bagi memacu usaha mencapai wawasan mobiliti multiflex kami dan membawakan kemudahan perkongsian kereta kepada lebih ramai lagi pengguna di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pelaburan AS$55 juta itu akan disalurkan ke arah meneruskan penambahbaikan teknologi dan meningkatkan lagi keyakinan serta langkah-langkah keselamatan yang dapat membantu menambah baik keuntungan perniagaan secara keseluruhannya. 

 

SOCAR juga bercadang untuk menggunakan kepakarannya dalam bidang pengurusan flit bagi memperkenalkan mobiliti hijau kepada umum dan memanfaatkan kepakarannya dalam pasaran pengguna-kepada-pengguna bagi memperkasakan lagi komuniti flit dan kereta persendirian di seluruh Asia Tenggara melalui platform TREVO miliknya.

 

Pelaburan ini akan distrukturkan kepada dua bahagian, iaitu dengan 60% pendahuluan dan tambahan 40% akan diberikan kemudian berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui.

 

Pelaburan EastBridge Partners ke dalam SOCAR Mobility Malaysia selaras dengan teras strategi pelaburan Korea+ yang memanfaatkan rangkaian EastBridge Korea dan Pan-Asia, di mana pelaburan adalah tertumpu kepada syarikat yang mempunyai asas yang kukuh, potensi pertumbuhan dan  prospek perkembangan global yang tinggi.

 

SOCAR pertama kali dilancarkan di Malaysia pada Januari 2018 sebagai sebuah usaha sama di antara SK Inc. dan Socar Inc.

 

Pada Februari 2020, SOCAR telah menyempurnakan aktiviti pendanaan Siri A berjumlah AS$18 juta dengan pelaburan daripada Eugene Private Equity Co. Ltd. dan KH Energy Co. Ltd.

 

TREVO yang merupakan anak syarikat milik penuh SOCAR telah dilancarkan pada penghujung Februari 2020, sebagai sebuah pasaran perkongsian kereta pengguna-kepada-pengguna berasaskan aplikasi. - DagangNews.com