Sokong dasar Kerajaan PN jayakan jayakan pelan pemulihan negara, utamakan rakyat – Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Sokong dasar Kerajaan PN jayakan jayakan pelan pemulihan negara, utamakan rakyat – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Parti Perikatan Nasional (PN) yang didukung oleh 50 orang Ahli Dewan Rakyat bersama 3 Ahli Dewan Rakyat bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited menyokong dasar dan perancangan Kerajaan PN menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.

 

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang dipengerusikannya pagi tadi juga telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara.

 

Menurut beliau, para pemimpin PN mendengar serta mengambil maklum semua pandangan dari parti-parti komponen bagi memperkukuhkan kerjasama politik dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

 

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN pagi tadi dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Mesyuarat telah dihadiri oleh semua ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden parti-parti komponen iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau,” kata Muhyiddin menerusi Facebook beliau hari ini.

 

Turut menghadiri mesyuarat adalah pemimpin parti komponen PN antaranya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta wakil-wakil dari parti komponen.

 

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Muhyiddin bulan lalu adalah pelan pemulihan yang memberi tumpuan kepada strategi untuk keluar daripada ancaman COVID-19 secara selamat dan sistematik.

 

Beberapa strategi utama digariskan khususnya menerusi pencapaian Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bakal mewujudkan imuniti berkelompok Oktober ini.

 

Dari sudut ekonomi pula, banyak pakej ekonomi telah diperkenalkan Kerajaan PN bagi membantu rakyat dan komuniti perniagaan untuk berhadapan tempoh mencabar ini. - DagangNews.com