Solarvest peroleh EPCC bangunkan 3 stesen jana tenaga solar berskala besar di bawah skim LSS4 | DagangNews Skip to main content

Solarvest peroleh EPCC bangunkan 3 stesen jana tenaga solar berskala besar di bawah skim LSS4

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Solarvest Holding Berhad hari ini memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi membangunkan tiga stesen jana tenaga solar berskala besar (LSSPV) di bawah skim tenaga solar berskala besar 4 (LSS4) dengan nilai agregat RM154.4 juta.

 

Tiga stesen jana tenaga solar itu akan menghasilkan kapasiti 40 megawatts (MW).

 

Projek jana tenaga solar merangkumi Stesen Jana Tenaga 15MW di Kampar oleh TEJA 1 Sdn. Bhd. bernilai RM54.4 juta, Stesen Jana Tenaga 10MW di Kampar oleh TEJA 2 Sdn. Bhd. bernilai RM42.8 juta dan Stesen Jana Tenaga 15MW di Kita oleh Kelliw Energy Sdn. Bhd. bernilai RM57.2 juta.

 

Stesen Jana Tenaga 15MW di Kampar dan 15MW di Kinta dijangka siap untuk operasi secara komersial pada hujung 2022 manakala Stesen Jana Tenaga 10MW dijangka beroperasi pada pertengahan 2023.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya berbesar hati kerana berjaya mendapatkan tiga kontrak EPCC dan secara rasminya melengkapkan penglibatan kumpulan itu dalam tender untuk skim LSS4.

 

Beliau berkata, pihaknya percaya keputusan tender yang positif itu mencerminkan rekod cemerlang pihaknya dalam menyediakan penyelesaian terbaik dan menerusi kontrak itu, tempahan kumpulan yang belum direkodkan mencecah jumlah tertinggi sebanyak RM742 juta.

 

lss4

 

"Majoriti projek yang dikendalikan akan siap menjelang penghujung 2024 dan memberikan bayangan pendapatan yang jelas kepada kumpulan.

 

"Baru-baru ini kami membentangkan Pelan Strategik 5 Tahun dan matlamat utama kami adalah untuk menjadi peneraju sebagai pembekal penyelesaian tenaga bersih menerusi ruang EPCC.

 

"Menerusi permintaan kami untuk LSS5 yang dijangka bermula suku ini, tumpuan kami adalah membangunkan projek yang utuh di bawa skim itu selain melihat ia sebagai peluang terbaik untuk membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui dan membentuk aliran tunai sebanyak 30%," katanya. - DagangNews.com