Solarvest peroleh kontrak RM175 juta bina ladang solar terbesar di Perlis | DagangNews Skip to main content

Solarvest peroleh kontrak RM175 juta bina ladang solar terbesar di Perlis

 

 


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Solarvest Holdings Bhd. memperoleh satu lagi projek berskala besar (LSS) bernilai RM175 juta di bawah program LSS@Mentari untuk membina ladang solar terbesar di Chuping, Perlis.

 

Kontrak ini menjadikan keseluruhan projek baharu kumpulan bagi kerja-kerja utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)melalui program itu mencecah hampir RM371 juta.

 

Menerusi kontrak yang diperoleh dari Classic Solar Farm Sdn. Bhd., Solarvest akan menjalankan kerja-kerja EPCC di ladang solar itu yang mempunyai kapasiti 50 megawatt (MW). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, projek berkenaan dijangka menjadi loji tenaga solar terbesar di Perlis dengan menjana tenaga bersih hampir 78,450 tan metrik karbon dioksida setahun apabila mula beroperasi.  

 

Katanya, dengan memperoleh projek itu juga, nilai projek yang belum dibilkan meningkat kepada RM583 juta, dan menjadi salah satu daripada nilai projek EPCC terbesar di Malaysia hari ini. 

 

"Kami gembira diberi kepercayaan untuk membina satu lagi mercu tanda projek dan membantu membuka nilai tenaga bersih di wilayah utara. 

 

"Ia merupakan tahun yang sibuk bagi Solarvest kerana kami terus meningkatkan penguasaan pasaran kami merentasi semula segmen pasaran utama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Secara kumulatif, kumpulan membida hampir 1,000 MWp nilai projek bagi operasi di seluruh Malaysia, Taiwan dan Filipina. 

 

Sejajar dengan pelan pertumbuhan Solarvest, Chun Shiong berkata, kumpulan meningkatkan tenaga kerja bagi memenuhi peningkatan permintaan. 

 

"Ketika berdepan tempoh mencabar ketika ini, kumpulan terus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyumbang secara positif kepada ekonomi tempatan. 

 

"Langkah ini semakin menguatkan keyakinan kami bahawa tenaga diperbaharui akan terus memainkan peranan penting dalam menjana pemulihan ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com