Solarvest senarai pendek 6 pemenang Seed Fund SIL | DagangNews Skip to main content

Solarvest senarai pendek 6 pemenang Seed Fund SIL

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Solarvest Holdings Bhd. menyenarai pendek enam pemenang pusingan pendanaan awal (Seed Fund) menerusi program syarikat pemula yang dikenali sebagai Solarvest Innovation Lab (SIL).

 

Program pemula itu adalah untuk memacu inovasi dan pembangunan keusahawanan di Malaysia dengan penekanan khusus pada perubahan iklim.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Davis Chong Chun Shiong mengakui sangat teruja dengan inovasi yang ditampilkan peserta yang menggunakan teknologi terkini dan memiliki potensi untuk dikomersialkan.

 

Beliau berkata, antara inovasi yang berjaya menarik perhatian termasuk sistem pemantauan banjir yang berpotensi untuk mengekang kecederaan dan kematian akibat bencana itu.

 

"Ada syarikat yang cuba untuk mengatasi masalah pembaziran sumber makanan selepas Malaysia menghasilkan sekitar 17,000 tan sisa makanan setiap hari yang dibuang ke tapak pelupusan sampah dan kemudiannya menghasilkan gas rumah hijau yang berbahaya.  

 

"Beberapa pemenang lain menunjukkan penggunaan teknologi dron. Ada yang menghasilkan platform perisian bagi menghasilkan imej dari udara untuk menjalankan pemantauan untuk projek tenaga solar.

 

"Ada antara calon yang disenarai pendek kami menggunakan teknologi blockchain yang member penekanan khusus kepada aset tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pada masa sama ada syarikat yang membangunkan sistem pengecas untuk kenderaan elektrik (EV)," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Davis berkata, dalam tempoh enam bulan akan datang, pihaknya akan berkerjasama dengan enam calon yang berjaya disenarai pendek ini dan memberikan segala kemudahan untuk memajukan inovasi mereka ke peringkat seterusnya.

 

Dalam pada itu, setiap pemenang akan menerima wang tunai RM10,000 selain peluang menyertai bengkel keusahawanan, bimbingan perniagaan dan ruang kerja.

 

Syarikat pemula yang berjaya membuktikan konsep inovasi mereka akan berpeluang untuk menyertai pusingan pendanaan pemecut (Accelerator Funding) pada 22 Jun 2022.

 

Pusingan pendanaan pemecut itu juga terbuka kepada peserta baharu yang berjaya membuktikan konsep inovasi mereka.

 

Calon yang berjaya disenarai pendek untuk pusingan itu berpeluang meraih hadiah wang tunai RM100,000 dan beberapa kelebihan lain dengan sasaran untuk memasarkan idea mereka. - DagangNews.com