SOP Gelembung Pelancong Antarabangsa ke Langkawi diluluskan - PM | DagangNews Skip to main content

SOP Gelembung Pelancong Antarabangsa ke Langkawi diluluskan - PM

KUALA LUMPUR 22 Okt - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan antarabangsa itu perlu memenuhi syarat dan mematuhi SOP sebagaimana yang dibentang Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

 

"Projek rintis akan dijalankan selama tiga bulan bagi KKM dan MKN menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain," katanya.

 

Katanya, pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan antarabangsa berkenaan perlu memenuhi syarat dan mematuhi SOP yang ditetapkan merangkumi peringkat prapelepasan, ketibaan dan penginapan, praperlepasan pulang ke negara asal.

 

Bagi praperlepasan, kumpulan sasaran adalah pelancong berkualiti (high yield), individu yang telah divaksin lengkap, anak di bawah umur 18 tahun wajib hadir bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang divaksin lengkap dan senarai negara dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen, KKM serta Kementerian Luar Negeri.

 

"Tempoh tinggal adalah sekurang-kurangnya tiga hari, tiada syarat kuarantin dikenakan yang terpakai untuk gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi sahaja, melakukan ujian PCR-RT COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan keputusan ujian wajib dalam bentuk digital atau cetakan.

 

"Insurans minimum AS$80,000, wajib menggunakan khidmat pelancongan pengendali pelancongan berlesen di bawah MOTAC, wajib mempunyai pasport dan visa 'Health Declaration Form LoU and Indemnity', memuat turun aplikasi MySejahtera dan mendaftar sebelum berlepas," katanya.

 

Bagi syarat ketibaan dan penginapan pula, Perdana Menteri berkata, jika melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelancong perlu melakukan ujian pengesanan air liur dalam masa 1 jam 30 minit sebelum berlepas.

 

Jika terus ke Langkawi, katanya, pelancong wajib melakukan ujian RT-PCR COVID-19 pada hari kedua dan jika positif, akan terus dibawa ke pusat pengasingan, kuarantin atau hospital swasta mengikut kategori, selain hanya seorang pemandu pelancong dibenarkan dalam satu kumpulan lawatan mengandungi maksimum 20 orang.

 

Ismail Sabri menjelaskan, sekiranya melancong selama tiga hari, ujian saringan RT-PCR Covid-19 pada hari kedua sudah memadai dan ia boleh digunakan untuk berlepas pulang ke negara asal, manakala jika melancong lebih lima hari, wajib melakukan ujian saringan pada hari kelima dengan semua kos ditanggung sendiri oleh pelancong.

 

"Ujian RT-PCR Covid-19 diperlukan bagi syarat prapelepasan pulang ke negara asal, iaitu 72 jam sebelum berlepas. Sekiranya melancong selama tiga hari, ujian saringan pada hari kedua boleh digunakan untuk berlepas pulang ke negara asal," katanya. - DagangNews.com