KUALA LUMPUR 18 Ogos - SP Setia Bhd. merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM80.09 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM74.81 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu susut 5.9% kepada RM1.02 bilion daripada RM1.08 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersih berkurangan kepada RM147.59 juta daripada RM150.04 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 11.7% kepada RM1.89 bilion daripada RM2.14 bilion.
Syarikat pemaju hartanah itu merekodkan jumlah jualan sebanyak RM1.67 bilion bagi tempoh berkenaan dengan kebanyakannya menerusi projek tempatan yang menyumbang 83% atau RM1.38 bilion daripada jumlah jualan.
Selebihnya, sebanyak RM294 juta adalah disumbangkan terutamanya menerusi jualan di peringkat antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, di sebalik cabaran yang dihadapi ndustri hartanah disebabkan kos bahan binaan yang tinggi, kekurangan buruh, kitaran kenaikan kadar faedah dan tekanan inflasi, pembeli rumah masih mencari kediaman bertanah di perbandaran yang mantap.
Katanya, ia dapat dilihat apabila inventori yang telah siap bernilai RM272 juta sudah dijual manakala tempahan bernilai RM559 juta diperoleh pada suku dikaji.
"Ini amat bertepatan dengan SP Setia memandangkan kumpulan terkela dengan perbandaran berkualiti yang mengutamakan kemudahan.
"Malah, ramai bakal pembeli menyedari kepentingan memiliki rumah yang melengkapkan gaya hidup mereka di bawah norma baharu," katanya.
Di bawah suku dikaji, kumpulan telah melancarkan projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar RM300.7 juta terdiri daripada rumah teres dua tingkat, Semi-D dan banglo.
Kadar pengambilan bagi fasa baharu Setia Eco Templer melebihi 90%, manakala beberapa pelancaran perbandaran yang berjaya termasuklah Setia Eco Glades. - DagangNews.com