IPOH 28 Dis - Festival jualan Star Vendors Perak Foodstival di Ipoh pada hujung minggu ini menyasarkan jualan sebanyak RM2.5 juta dengan penyertaan lebih 40 vendor selebriti dan pempengaruh media sosial.
Festival jualan Star Vendors Perak Foodstival ini bakal berlangsung pada 30 Disember hingga 1 Januari 2024 di Stadium Indera Mulia di Ipoh.
Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Ifa Raziah berkata, ini merupakan penganjuran kali kedua di Ipoh selepas diadakan hujung tahun lalu.
Menurut usahawan selebriti ini, berdasarkan sambutan lalu pihaknya menjangkakan kehadiran puluhan ribu pengunjung selain ia menjadi acara penutup hujung tahun.
“Anggaran jualan kira-kira RM2.5 juta ini kerana kali ini kita masih mempunyai vendor yang menjual emas dan perumahan yang menyumbang pada jualan tertingi tahun lepas.
“Kita percaya konsep kami yang berbeza dari festival lain akan menarik kehadiran warga Perak.
“Konsep indoor dan outdoor pada karnival ini melibatkan jualan fesyen, kecantikkan, perumahan, emas, pelancongan serta makanan dan minuman viral,” ujarnya.
Antara yang akan membuka reruai dan menjual rangkaian produk mereka sendiri ialah Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Nora Ariffin, Noraniza Idris, Datuk Seri Vida, Zarina Zainuddin dan Salina Saibi.
Selebriti lain termasuklah Serina Redzuwan, Syean Mokhtar, Reen Rahim, Nadia Brian, Cheta Pot Pet, Nur Ristena, Lan Pet-Pet, Faezah Elai, Syuk Sahar dan Acong Sweetchild.
Jelas Ifa lagi, selain kehadiran 35 selebriti yang tampil dengan produk perniagaan masing-masing, pelbagai acara sampingan diadakan.
“Ada juga aktiviti sewaktu acara seperti pertandingan ratu cantik, permainan kanak-kanak dan Harley Bike show.
“Tidak ketinggalan konsert setiap hari dan masuk adalah percuma. Acara ini sesuai untuk semua lapisan umur terutama meraka yang berkeluarga kerana semua boleh didapati di bawah satu acara,” ujarnya.- DagangNews.com