KUALA LUMPUR 19 Jan - Maybank Investment Bank (IB) Research optimis status Nota Amalan 17 (PN17) yang dihadapi AirAsia Group Bhd. mampu diselamatkan memandangkan asas kumpulan semakin bertambah baik apabila ia kembali terbang setelah kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan.
Malah, firma itu menyifatkan, kedudukan ekuiti pemegang saham yang negatif menyebabkan syarikat penerbangan tambang murah itu diklasifikasi sebagai PN17 selepas 7 suku berturut-turut merekodkan kerugian yang besar akibat pandemik COVID-19.
"Berbanding dengan aliran tunai kumpulan, yang mana ia mengumpul sehingga RM2.6 bilion, kami percaya ia mencukupi untuk mengharungi tahun kewangan 2022 (FY22)," katanya dalam nota kajian pada Isnin.
Jumaat lalu, Bursa Malaysia Securities Bhd. mengumumkan AirAsia telah diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah sejajar dengan Perenggan 2.1(a) dan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) dalam Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities.
Bursa Securities menegaskan ia akan terus memantau perkembangan AAGB dari segi pematuhan kepada Keperluan Penyenaraian Papan Utama.
Ini berikutan, sehari sebelumnya, Bursa Malaysia telah menolak rayuan AirAsia yang ingin melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 yang berakhir pada 7 Januari 2022.
Baca : AirAsia perlu RM7.4 bilion untuk keluar daripada PN17, mungkin laksana langkah lebih ekstrem - Penganalisis
Baca : AirAsia Group kini diklasifikasi PN17 oleh Bursa Malaysia Securities
Maybank IB berkata, akibat krisis pandemik, AirAsia merekodkan kerugian bersih sebanyak RM5.1 bilion bagi FY20 yang menyebabkan ekuiti pemegang saham berubah negatif kepada -RM1.2 bilion setakat akhir FY20.
"Kami menjangkakan angka ini akan meningkat kepada -RM3.5 bilion setakat akhir FY21 dan -RM6.2 bilion pada akhir FY22.
"Perlu diambil perhatian, anggaran kerugian bersih kami bagi FY22 adalah lebih melebar berbanding anggaran konsensus," jelasnya.
Namun, firma itu yakin, AirAsia mampu mengecilkan kedudukan ekuiti pemegang saham yang negatif ini dengan ketara sebelum akhir FY22.
Sehubungan itu, Maybank IB menggariskan 6 langkah bagi membantu AirAsia menangani ekuiti pemegang sahamnya yang negatif, antaranya, mengecualikan pajakan tertunggak pesawat sebanyak RM2.5 bilon dan menyenaraikan aset digitalnya yang kini bernilai AS$1.2 bilion atau RM5.2 bilion.
Jelasnya, kumpulan juga boleh mengambil langkah dari segi pembalikan rosot nilai aset hak boleh guna (RM552 juta) dan terbitan sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) sebanyak RM974 juta serta waran (RM650 juta).
"Selain itu, terdapat kemungkinan akaun AirAsia Indonesia dan AirAsia Filipina tidak disatukan lagi dan turut mempertimbangkan penjualan aset seperti bahagian operasi, penyelenggaraan dan baik pulih," jelasnya.
Ketika ini, AirAsia Malaysia menerbangkan 33% daripada kumpulan pesawatnya, manakala AirAsia Indonesia dan AirAsia Filipina pula antara 25 hingga 33% dan AirAsia Thailand sebanyak 50%.
"Kami percaya ini prestasi yang baik memandangkan pada awal suku ketiga 2021, rantau Asia Tenggara telah terjejas dengan varian Delta," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap AirAsia dengan harga sasaran pada RM1.31 sesaham.
Setakat 3.09 petang ini, harga sahamnya susut 2.5 sen atau 4.07% kepada 59 sen dengan 39.06 juta saham diniagakan. -DagangNews.com