Stellantis tubuh syarikat jualan nasional di Malaysia pada suku pertama tahun depan | DagangNews Skip to main content

Stellantis tubuh syarikat jualan nasional di Malaysia pada suku pertama tahun depan

Kilang pembuatan kereta Stellantis di Gurun, Kedah
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Stellantis N.V. (Stellantis) akan menubuhkan syarikat jualan nasional (NSC) baharu di Malaysia pada suku pertama 2024.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, pengeluar kereta dan penyedia mobiliti itu berkata NSC baharu itu menjadi entiti rasmi syarikat yang akan mengemudi dan menguruskan aspek pengedaran dan jualan kenderaan pengeluar kereta itu di negara ini.

 

Tambahnya, perubahan dalam strategi perniagaan itu adalah sebahagian daripada cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN, selaras dengan rancangan elektrifikasinya serta strategi Global Dare Forward 2030.

 

Sejajar dengan peralihan strategik, Bermaz Auto Alliance (BAA), anak syarikat 55% milik Bermaz Auto Berhad (Bermaz Auto) dan pengedar semasa jenama Peugeot di Malaysia, akan terus bekerjasama dengan Stellantis bagi penjualan kenderaan menerusi rangkaian pengedarnya.

 

Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN, Daniel Gonzalez berkata strategi perniagaan baharu tersebut menyediakan pasaran Malaysia dengan lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah pembentukan NSC, termasuk pengenalan jenama baharu di Malaysia pada masa hadapan di bawah portfolio Stellantis.

 

 

 Daniel Gonzalez
Daniel Gonzalez

 

 

Menurut beliau, Bermaz Auto memainkan peranan penting dalam mewujudkan kehadiran kukuh jenama Peugeot di Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu.

 

“Bermaz Auto yang menjadi rakan kongsi penting dan telah membina asas kukuh jenama Peugeot di Malaysia sejak Disember 2020, akan memberi sokongan padu terhadap peralihan kami dalam pembentukan NSC,” tambahnya.

 

Stellantis berkata BAA akan terus bekerjasama dengan kumpulan itu dalam tempoh peralihan terbabit, dengan kedua-dua syarikat kekal teguh dengan komitmen mereka untuk terus berkhidmat kepada pelanggan Peugeot dengan menawarkan servis tanpa gangguan, alat ganti, waranti dan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Tan Sri Ben Yeoh berkata pihaknya menyokong penuh cita-cita global Stellantis, selaras dengan strategi Dare Forward 2030.

 

“Dari permulaan kerjasama, kami berperanan sebagai penjaga jenama Peugeot di Malaysia kerana kami bersungguh-sungguh dalam membina jenama ini.

 

“Hari ini, kami bangga dapat mengemudinya, di mana Stellantis bersedia untuk melangkah lebih jauh. Kami menyokong penuh cita-cita global Stellantis,” katanya.

 

Hala tuju dan strategi baharu Stellantis untuk rantau ASEAN termasuk cita-cita elektrifikasi dan menilai potensi kilang di Gurun, Kedah sebagai hab pembuatan serantau untuk menghasilkan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) untuk pasaran domestik dan eksport di ASEAN, selain memacu penggunaan BEV di rantau ini.

 

Pembuat kereta itu telah melabur lebih RM2 bilion (€400 juta) untuk memperkenalkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN, membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan berbilang tenaga (BEV, ICE, MHEV) dan mewujudkan pemasangan tempatan dari jenama Stellantis seperti Jeep dan Citroën.  - DagangNews.com