KUALA LUMPUR 10 Nov - Inventori minyak sawit Malaysia pada akhir Oktober kembali meningkat berbanding bulan sebelumnya apabila eksport merosot manakala pengeluaran mencecah paras 3 bulan tertinggi.
Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dikeluarkan hari ini menunjukkan simpanan stok minyak sawit Malaysia berkembang 4.42% daripada September kepada 1.83 juta tan metrik.
"Pengeluaran minyak sawit mentah pula meningkat 1.3% kepada 1.73 juta tan metrik, tertinggi sejak September 2020," katanya seperti dilapor Reuters.
Pengurus jualan institusi dan broker di Phillip Futures, Macello Cultrera berkata, pengeluaran kekal di bawah paras sebelum pandemik, manakala simpanan stok juga 16.8% di bawah paras purata 10 tahun sebanyak 2.2 juta tan metrik pada Oktober.
Eksport turut merosot 12.03% kepada 1.42 juta tan metrik apabila pengimport utama memperlahankan pembelian selepas penghantaran melonjak pada bulan sebelumnya. Import juga jatuh 32.73% kepada 50,540 tan metrik.
Peniaga dan penganalisis menyifatkan kenaikan mendadak harga minyak mentah hingga mencecah RM5,220 satu tan metrik pada pertengahan Oktober juga menghalang permintaan.
Pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa menyifatkan data yang dikeluarkan MPOB adalah memenuhi jangkaan, mencerminkan sebahagian besarnya sudah mengambil kira penurunan. - DagangNews.com