Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov - Strategi baharu Astro yang menjalinkan kerjasama dengan Netflix dilihat tidak akan melonjakkan populariti stesen televisyen berbayar itu dengan serta merta.
CGS-CIMB berpendapat, selama bertahun-tahun, Astro telah bergelut dengan pelbagai isu persepsi mengenai kualiti perkhidmatannya.
"Rakyat Malaysia secara amnya, seperti yang boleh dilihat di papan media sosial, telah mengkritik Astro kerana telah mengadakan “monopoli” dalam ruang TV berbayar dan hiburan Malaysia.
"Kami tidak fikir strategi baharu Astro ini akan melonjakkan populariti pengendali TV berbayar itu dengan serta-merta.
"Pengguna boleh menjadi keras kepala dengan persepsi mereka. Dan pada zaman media sosial, mesej penjenamaan korporat boleh hilang dalam lautan maklumat yang hampir tanpa had yang terapung di Internet.
"Oleh itu, mungkin memerlukan masa untuk orang ramai menyedari perubahan yang dilakukan oleh Astro, dan cadangan nilai yang dibawanya," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Astro baru-baru ini mengumumkan pelancaran ‘Pengalaman Baharu Astro’, yang membolehkan pelanggan untuk mengakses kepada saluran Netflix di TV Astro dan menikmati lebih nilai serta penjimatan menerusi pek-pek langganan terbaharu yang diperkenalkan.
Menerusi tawaran terbaharu itu pelanggan boleh menikmati program-program popular kegemaran masing-masing menerusi satu platform utama Astro; dari perkhidmatan penstriman terkemuka dunia seperti Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, TVBAnywhere+ ke program-program kebanggaan Astro dan acara sukan berprestij dunia secara langsung, semuanya ini menerusi skrin besar dan alat peranti masing-masing.
Tambah CGS-CIMB, pada majlis pelancaran Netflix di Astro, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk TV Euan Smith berkata, perubahan yang dilakukan kumpulan di bawah strategi "Astro baharu" mengambil kira maklum balas yang diperolehi daripada pelbagai pihak.meliputi beberapa demografi dan peminat pilihan genre kandungan yang berbeza-beza.
"Itulah sebabnya kami optimis bahawa Astro melakukan perkara yang betul untuk memenangi semula pelanggannya yang telah hilang, kebanyakannya kerana kumpulan itu membawa masuk perkhidmatan SVOD yang mempunyai pengaturcaraan arkib terkini dan popular.
"Walau bagaimanapun, kami bersikap pragmatik dengan ramalan FY1/22-24F kami. Kami tidak fikir strategi baharu Astro ini akan melonjakkan populariti pengendali TV berbayar itu dengan serta-merta," katanya. - DagangNews.Com