Subsidi pertroleum tahun 2022 dijangka cecah RM28 bilion | DagangNews Skip to main content

Subsidi pertroleum tahun 2022 dijangka cecah RM28 bilion

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac -  Jumlah subsidi petroleum bagi tahun 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion pada 2021 jika harga minyak mentah dunia kekal melebihi AS$100 setong.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, isu pergolakan antara Rusia dan Ukraine menyebabkan harga minyak mentah dunia naik mendadak ke paras melebihi  AS$100 setong iaitu paras tertinggi sejak 2014. 

 

"Dengan kenaikan ini, dijangka jumlah subsidi petrol, diesel dan liquefied petroleum gas (LPG) akan melebihi RM2.5 bilion sebulan," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan kepada soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat, mengenai penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG perlu diadakan memandangkan harga antarabangsa bagi minyak mentah dan gas asli naik mendadak berikutan peperangan Rusia-Ukraine yang sedang meruncing.

 

Menurut Tengku Zafrul, sejak permulaan tahun 2021, harga minyak mentah dunia menurut Brent Crude Oil telah menunjukkan trend peningkatan yang signifikan. 

 

Beliau berkata, harga minyak mentah bagi bulan tahun ini adalah pada kadar AS$85 setong iaitu meningkat berbanding Januari 2021 sebanyak AS$55 setong.

 

"Berikutan kenaikan ini, Kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak atau LPG yang ketara sehingga 10 kali ganda iaitu meningkat daripada RM200 juta untuk bulan Januari 2021 kepada lebih daripada RM2 bilion pada bulan Januari 2022," katanya.

 

Beliau berkata, pengguna pada masa ini hanya membayar RM2.05 seliter untuk petrol RON95 tetapi kos sebenar dalam bulan Mac telah mencecah RM3.70 seliter untuk petrol. 

 

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

"Ini bermakna Kerajaan terpaksa menampung perbezaan sebanyak RM1.65 setiap liter. Sebagai contoh, setiap kali kita pergi ke stesyen pam minyak, dan kita mengisi minyak dengan nilai RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah yang dibayar oleh Kerajaan adalah sebanyak RM81, kerana jumlah kos sebenar berdasarkan harga pasaran adalah RM181 bagi 49 liter RON95. 

 

"Ini bermaksud subsidi Kerajaan adalah sehingga 45% daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter di stesen minyak sementara kos sebenar telah juga melebihi RM4.00 seliter," katanya.

 

Beliau berkata, jurang besar antara harga runcit di stesen minyak berbanding harga pasaran sebenar akan mengakibatkan risiko ketirisan subsidi yang lebih tinggi disebabkan aktiviti penyeludupan keluar produk petroleum.

 

Katanya, Kerajaan juga tidak boleh meminjam untuk membiayai Belanja Mengurus (OE) seperti kos subsidi. 

 

"Dengan itu, kenaikan kos subsidi perlu diimbangi dengan pertambahan hasil dan juga penjimatan perbelanjaan. Program subsidi semasa melibatkan harga bersubsidi yang sama dinikmati semua, tanpa mengira kaya atau miskin. 

 

"Tambahan pula, golongan yang berpendapatan tinggi akan menikmati lebih subsidi berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding dengan mereka yang berpendapatan rendah," katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi produk minyak supaya dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya.

 

Tambahnya, pelaksanaan subsidi secara bersasar dijangka dapat mengoptimumkan sumber kewangan Kerajaan dan penjimatan yang dicapai dapat diagihkan semula untuk program yang lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. - DagangNews.com