Subsidi telefon dinaikkan kepada RM300 | DagangNews Skip to main content

Subsidi telefon dinaikkan kepada RM300

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Subsidi telefon yang diberikan kepada semua penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dinaikkan kepada RM300. 

 

Ini disasarkan kepada isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

“Jika Belanjawan 2021 sebelum ini telah mengumumkan subsidi pembelian telefon sebanyak RM180 kepada semua penerima BPR, sukacita diumumkan kerajaan akan menambah baik subsidi ini kepada RM300 khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu. 

 

“Dengan itu, peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada RM2 bilion dan InsyaAllah, akan dilancarkan awal bulan Mei. 

 

“Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion hari ini.

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

Dalam pada itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperuntukkan RM3.2 bilion untuk tahun 2021, tambah Muhyiddin. 

 

Katanya, peruntukan yang disalurkan di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat itu bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan. 

 

Jelasnya lagi, SKMM akan memperkenalkan program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti. 

 

Program itu akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti, kata Muhyiddin. 

 

“Rangka kerja MyDigital dan Ekonomi Digital Malaysia telah menggariskan perkhidmatan 5G komersil sebagai keperluan terpenting kerana internet kelajuan tinggi adalah perlu untuk mencetuskan inovasi dan peluang kerja baru dalam ekonomi digital negara. 

 

“Oleh itu, perkhidmatan 5G dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai hujung tahun ini,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com