KUALA LUMPUR 24 Nov - Pestech International Bhd berkata injunksi telah dikeluarkan terhadap anak syarikat milik penuh tidak langsungnya CRSE Sdn Bhd untuk menghalang syarikat itu daripada menunaikan dua bon bernilai RM14.25 juta.
Bon itu diterbitkan memihak kepada CRSE menurut kontrak sub-bekalan yang dimeterai pada 2018 antara unit milik 50% milik Pestech Pembinaan Tajri Sdn Bhd dan Universal Cable (M) Bhd, unit milik penuh Sarawak Cable Bhd.
Pestech berkata pada 23 Oktober, CRSE mengeluarkan permintaan kepada Bangkok Bank Bhd ke atas dua bon itu — bon prestasi berjumlah RM9.5 juta dan bon pengekalan berjumlah RM4.75 juta.
"Permintaan itu dibuat atas alasan bahawa Universal Cable telah melanggar obligasinya di bawah kontrak sub-bekalan," tambah Pestech dalam makluman di Bursa Malaysia.
Ia berkata Universal Cable bertindak balas dengan memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi pada 26 Oktober terhadap CRSE dan Bangkok Band, memohon pengisytiharan bahawa permintaan terhadap bon itu adalah terbatal dan tidak sah.
Sementara menunggu penentuan saman itu, Universal Cable juga memfailkan injunksi ex-parte untuk menghalang CRSE daripada menunaikan bon, dan untuk menghalang Bangkok Bank daripada mengeluarkan sebarang wang di bawah bon tersebut.
Pada 30 Oktober, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi ex-parte. Pada 14 November, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan dan bertukar afidavit berhubung perkara itu, dan menetapkan 7 Disember untuk pengurusan kes selanjutnya.
“Dalam pada itu, injunksi ad-interim telah diberikan oleh mahkamah supaya perintah injunksi ex-parte kekal berkuat kuasa sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-partes,” kata Petech. - DagangNews.com