Keluarga Malaysia sudah boleh melancong dan pulang ke kampung masing-masing setelah kerajaan membenarkan akiviti rentas negeri mulai hari ini. - Gambar hiasan dari MalayMail/Sayuti Zainudin
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Bursa Malaysia memulakan dagangan tinggi pagi ini berikutan pengumuman kerajaan yang membenarkan semula pergerakan rentas negeri mulai hari ini sekali gus merangsang keyakinan pelabur.
Setakat 9.07 pagi ini, indeks utama FBM KLCI menokok 7.04 mata kepada 1,570.94 mata berbanding penutupan Jumaat pada 1,563.9 mata.
Semalam, ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju memberi kebenaran tersebut kepada mereka yang sudah menerima vaksinasi lengkap apabila kadar vaksinasi lengkap mencapai 90%.
Serentak dengan itu, kerajaan membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk untuk melancong tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen, berkuat kuasa esok.
Bagaimanapun, individu berkenaan mesti lengkap 2 dos vaksin COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik sahaja pulang ke tanah air.
Malacca Securities Research menjangkakan momentum pembelian dalam bursa tempatan akan berterusan didorong prospek ekonomi yang lebih cerah apabila perjalanan rentas negeri dan negara dibuka semula.
Katanya, ini secara tidak langsung akan menghidupkan semula aktiviti syarikat berkaitan pelancongan dan pengangkutan terutamanya dalam segmen pelancongan.
"Kaunter-kaunter bertemakan pemulihan seperti penerbangan, pelancongan dan pengangkutan mungkin mendapat petanda baik daripada pengumuman kerajaan ini.
"Di samping itu, harga komoditi yang meningkat pula akan terus memberi manfaat kepada saham berkaitan perladangan serta minyak dan gas (O&G)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat pagi ini, dagangan bursa tempatan menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 444 berbanding 229 manakala 327 tidak berubah dan 1,258 tidak diniagakan.
Apa yang menarik dalam dagangan pagi ini, saham AirAsia Bhd. dan AirAsia X Bhd. mendahului dagangan kaunter paling aktif sejajar dengan kerancakan semula aktiviti pelancongan di seluruh negara.
Ia menyaksikan AirAsia menokok 10 sen kepada RM1.29 manakala AirAsia X naik 15 sen kepada 10 sen.
Turut aktif diniagakan termasuklah saham KNM Group Bhd., Euro Holdings Bhd., Widad Group Bhd., dan Bumi Armada Bhd.
Kaunter untung pula didahului dengan saham Carsberg Brewery Malaysia Bhd. menokok 46 sen kepada RM22.52 dan Carzo Holdings Bhd. menokok 35 sen kepada RM3.050.
Sebaliknya, saham Genetec Technology Bhd. mendahului kaunter rugi dengan susut 44 sen kepada RM40.20 diikuti YNH Property Bhd. susut 13 sen kepada RM2.68. - DagangNews.com