Sultan Johor, firma Singapura bentuk JV melombong emas di Tenggaroh | DagangNews Skip to main content

Sultan Johor, firma Singapura bentuk JV melombong emas di Tenggaroh

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pemegang saham syarikat senaraian awam Singapura, Southern Alliance Mining Ltd meluluskan cadangan usaha sama (JV) melombong emas dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

Cadangan yang mendapat kelulusan penuh pemegang saham Southern Alliance Mining Ltd pada mesyuarat agung luar biasa (EGM).

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Saham Singapura, Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Southern Alliance, Datuk Seri Pek Kok Sam, berkata cadangan JV yang mendapat kelulusan 100 peratus itu berdasarkan jumlah keseluruhan saham sebanyak 410.002 juta yang diwakili pemegang saham yang mengundi bagi usaha sama melombong emas.

 

"Entrust Advisory Pte Ltd dilantik sebagai pengawal selia EGM itu. Tiada pihak diminta bersuara untuk sebarang resolusi pada EGM itu," katanya, lapor Berita Harian.

 

Menurut Kok Sam, EGM Southern Alliance pada Jumaat, merangkumi tiga resolusi termasuk cadangan mempelbagai perniagaan dengan keputusan melombong emas secara JV, selain resolusi lain berhubung rancangan menerima mandat pembelian saham syarikat.

 

Southern Alliance, yang juga pelombong bijih besi sudah mengumumkan cadangan melombong emas secara JV dengan Sultan Ibrahim pada 16 Julai lalu.

 

Dalam kenyataan sama, Kok Sam berkata, Southern Alliance memeterai perjanjian dengan Sultan Ibrahim bagi menubuhkan syarikat JV yang mana Southern Alliance menguasai 85 peratus, manakala baki 15 peratus dikuasai Sultan Ibrahim.

 

"Sehubungan itu, syarikat pada 16 Julai lalu memeterai perjanjian operator melombong dengan Sultan Ibrahim di mana syarikat JV akan melaksanakan kerja-kerja penerokaan emas dan mineral atau deposit lain serta/atau aktiviti perlombongan di lombong Tenggaroh, Johor," katanya. - DagangNews.com