Sunway berpotensi kerugian sehingga RM88 juta ekoran PDC tamatkan perjanjian kerjasama pembangunan BKIP2 – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sunway berpotensi kerugian sehingga RM88 juta ekoran PDC tamatkan perjanjian kerjasama pembangunan BKIP2 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Sunway Berhad berpotensi kerugian sehingga RM88 juta susulan penamatan perjanjian kerjasama bagi pembangunan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu hantaran di Facebook mengumumkan bahawa Penang Development Corp (PDC) memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan anak syarikat Sunway, Umech Land Sdn Bhd bagi pembangunan BKIP2.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lembaga Pengarah PDC batalkan perjanjian usaha sama dengan Umech Land

 

 

Menjawab perkara tersebut, Sunway dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata ia belum menerima surat rasmi penamatan perjanjian pembangunan bersama (JDA) tersebut daripada PDC.

 

Maybank IB berkata ia difahamkan bahawa Sunway masih berminat untuk mengemukakan tender bagi pembangunan BKIP2 apabila PDC mengiklankan permintaan untuk cadangan (RFP).

 

Menurut firma penyelidikan itu, sehingga kini, jumlah kos yang ditanggung untuk perjanjian tanah ialah RM88 juta, di mana RM23.3 juta telah disuntik kepada Umech Land sebagai pertukaran untuk 70% pegangan saham dalam syarikat, manakala baki RM64.6 juta telah dibayar sebagai deposit prestasi kepada PDC.

 

“Pada pandangan kami, terdapat kemungkinan Sunway tidak dapat membayar balik semua kos yang ditanggung berkaitan dengan perjanjian tanah, terutamanya suntikan ekuiti ke dalam Umech Land.

 

“Dengan mengandaikan potensi kerugian sebanyak RM23.3 juta (senario terbaik) dan RM88 juta (senario terburuk, tidak mungkin pada pandangan kami), ramalan keuntungan bersih FY23 (tahun kewangan 2023) kami mempunyai potensi penurunan sebanyak 3% hingga 12%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran RM1.92 sesaham sementara menunggu butiran lanjut.

 

Pembangunan BKIP2 di tanah seluas 226.2 hektar di Byram, Seberang Perai Selatan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM3.5 bilion, di mana Umech Land sebagai pemaju akan membangunkan tanah, bernilai RM646 juta, disediakan oleh PDC dengan kos sendiri.

 

Pada pukul 9:59 pagi ini, saham Sunway susut 6 sen atau 3.2% kepada RM1.84 dengan permodalan pasaran bernilai 9.2 bilion.  - DagangNews.com