Sunway ceriakan Ramadan & Syawal 30,000 rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sunway ceriakan Ramadan & Syawal 30,000 rakyat Malaysia

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Sunway Group (Sunway) menceriakan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia dengan sumbangan barangan keperluan bersempena dengan sambutan Ramadan dan Syawal baru-baru ini.

 

Sumbangan berkenaan disampaikan di enam buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Kelantan melibatkan petugas barisan hadapan dan golongan B40.

 

Sumbangan berbentuk barangan keperluan seperti beras, bubur lambuk, makanan berbungkus, barangan runcit dan pelbagai barangan lain itu disampaikan bagi membantu masyarakat mendepani ancaman pandemik.

 

.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group, Tan Sri Razman M. Hashim berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Komuniti Belia Selangor (SAY), Bulan Sabit Merah Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara Malaysia, Lembaga Zakat Selangor dan pelbagai lagi untuk mendapatkan penerima golongan B40 di seluruh negeri.

 

"Dengan keberkatan bulan Ramadan dan Raya ini, kami akan terus memastikan tidak akan ada orang yang tersisih dan Sunway akan terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang tidak dilindungi dan golongan rentan.

 

"Ini sangat penting dalam tempoh pendemik yang mencabar ini," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

.

 

Jaringan perniagaan lain seperti Sunway Theme Parks, Sunway Pharmacy, Sunway Healthcare, Sunway Malls, Sunway Property dan Sunway Hotel turut menyumbang barangan keperluan kepada ribuan lagi golongan B40 di seluruh negara.

 

Beliau turut memberi keyakinan bahawa pihaknya akan terus bersama masyarakat dalam memerangi wabak COVID-19.

 

Secara keseluruhannya, Sunway berjaya mengedarkan 1,000 kg beras, 10,000 bekas bubur lambuk, 4,108 makanan berbungkus, 1,548 bungkus barangan runcit serta keperluan lain untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

Selain itu, empat buah rumah turut dihadiahkan sebuah komputer riba bagi memudahkan akses pendidikan kepada anak-anak di bawah inisiatif Sunway LINE (Learn. Innovate. Nurture. Evolve.). - DagangNews.com