Sunway Construction akan raih lebih banyak projek pada FY23 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction akan raih lebih banyak projek pada FY23 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Sunway Construction Group Berhad diunjurkan meraih lebih banyak projek pada FY23 menjadikan jumlah kontrak terkumpulnya ke tahap tertinggi.

 

MIDF Research berkata, kejayaan terkini kumpulan itu meraih projek pembinaan pusat data di Sedenak Tech Park (STeP) bernilai RM1.7 bilion menjadikan tambahan kontrak melebihi RM2.58 bilion mengatasi sasaran RM2 bilion.

 

Katanya, kejayaan itu menyaksikan tempahan terkumpul kumpulan itu kepada RM5.7 bilion memberikan keterlihatan pendapatan yang jelas sehingga FY24.

 

Firma itu juga melihat bahawa kumpulan itu mula mengembangkan operasi luar negaranya yang dipelbagaikan berbanding sektor pembinaan di Malaysia.

 

Katanya, jumlah kontrak terkumpul kumpulan itu adalah terdiri daripada projek di India (10.6%) dan Singapura (9.4%).

 

"Kumpulan itu sedang berunding terma dan syarat untuk kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) loji janakuasa arang batu di Daerah Hau Giang,  Vietnam, sebuah projek bernilai AS$2.2 bilion (RM9.69 bilion) yang akan dilaksanakan melalui 60:40 usaha sama dengan Power Engineering Consulting, syarikat kuasa yang disenaraikan di Bursa Saham Ho Chi Minh.

 

"Di Malaysia, prospek kumpulan itu hadir daripada pekerjaan terjamin secara dalaman daripada Sunway Group dan berpotensi sebagai salah satu pakej MRT3 utama.

 

"Kumpulan itu mengemukakan bidaannya untuk pakej CMC301 dan CMC302 yang kami anggarkan masing-masing berjumlah RM3.1 bilion dan RM14.8 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kontrak terbaharu kumpulan itu menyaksikan, mereka akan melaksanakan pembangunan reka bentuk, pembinaan dan penyiapan kerja-kerja seperti cerucuk, konkrit pratuang struktur, kerja seni bina, perkhidmatan mekanikal, elektrik dan lain-lain kerja sampingan dan luaran yang berkaitan.

 

Kerja-kerja dimulakan pada tarikh penganugerahan yang sama dan projek itu dijangka siap dalam tempoh 21 bulan atau menjelang 3QCY24.

 

Firma itu berkata, dengan andaian margin keuntungan sebanyak 6%, firma itu menjangkakan projek itu akan menyumbang RM102 juta iaitu RM58.3 juta pada FY23 dan RM43.7 juta pada FY24.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.87 sesaham," katanya. - DagangNews.com