Sunway Construction miliki peluang cerah raih kontrak MRT3 | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction miliki peluang cerah raih kontrak MRT3

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Sunway Construction Group Bhd. dilihat antara calon yang paling layak untuk meraih pakej kontrak di bawah projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) berdasarkan kepada kedudukan kewangannya yang kukuh. 

 

MIDF Research berkata, dengan memiliki kunci kira-kira yang mantap, ia memberi kelebihan kepada syarikat pembinaan itu untuk menyertai projek infrastruktur yang memerlukan pendahuluan pembiayaan. 

 

Katanya, kumpulan juga mempunyai ruang untuk menambah hutang, jika diperlukan memandangkan kedudukan tunai bersihnya ketika ini berjumlah RM326.6 juta.

 

"Kami percaya pelancaran kontrak MRT3 akan meningkatkan lagi nilai kontrak Sunway Construction pada tahun ini, selain daripada projek-projek lain. 

 

"Walaupun syarikat hanya dibenarkan mengambil satu pakej sahaja, tetapi dengan bahagian yang kecil daripada pakej CMC301, sudah memadai bagi kumpulan menambah nilai kontraknya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Nilai kontrak semasa kumpulan kini berjumlah RM4.23 bilion yang menyediakan pendapatan sehingga lebih tiga tahun akan datang. 

 

Bagaimanapun, firma itu mendapati, kumpulan masih lagi belum mencapai sasarannya sebanyak RM2 bilion tahun ini selepas memperoleh kontrak bernilai RM563 juta pada separuh pertama 2022.

 

Sebelum ini, Sunway Construction dilaporkan berminat untuk menyertai tender bagi pakej CMC302 dan CMC301, yang masing-masing melibatkan kos berjumlah RM13.94 bilion dan RM2.79 bilion.

 

Tender bagi CMC301 akan ditutup pada 30 Ogos ini manakala CMC302 dilanjutkan sehingga 30 September 2022. Kontrak itu dijangka diumumkan pada suku keempat tahun ini.

 

Pada Mei lalu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) membuka tiga pakej tender membabitkan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) kepada kontraktor yang layak.

 

Tender pertama ialah pakej CMC301 bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot dan lain-lain kerja berkaitan dari Pandan ke Jalan Cheras.

 

Pakej kedua CMC302 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, depot, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Jalan Cheras ke Pantai Dalam serta Jalan Kuching ke Pandan.

 

Bagi pakej terakhir iaitu CMC303 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Sunway Construction merekodkan untung bersih sebanyak RM32.3 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, lebih tinggi daripada RM8.32 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM557.89 juta daripada RM375.27 juta.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Construction dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.87 sesaham. 

 

"Bagi kami, Sunway Construction masih kekal menjadi pilihan utama kami bagi sektor pembinaan berdasarkan kepada kedudukan nilai kontrak dan marginnya bertambah baik.

 

"Selain itu, Hab Pembinaan dan Pra-Fabrikasi Bersepadu (ICPH) di Singapura, yang dijadualkan memulakan operasi pada separuh kedua ini, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan," katanya.

 

Setakat 9.14 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.65% kepada RM1.56 dengan 200 saham diniagakan. - DagangNews.com