Supercomnet diramal catat pertumbuhan positif pada separuh kedua 2024 diorong pelancaran kabel pintar pemantauan penjagaan kritikal. | DagangNews Skip to main content

Supercomnet diramal catat pertumbuhan positif pada separuh kedua 2024 diorong pelancaran kabel pintar pemantauan penjagaan kritikal.

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - TA Securities meramalkan Supercomnet Technologies Bhd mencatatkan pertumbuhan berdaya tahan pada separuh kedua 2024 didorong pelancaran beberapa produk baharu dalam segmen perubatan seperti kabel pintar bagi pemantauan penjagaan kritikal.

 

Katanya, perkembangan produk bagi pelanggan Innovative Health Sciences (IHS) berada di landasan tepat dan dijangka mula menyumbang kepada jualannya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara keseluruhan, permintaan daripada Edwards Lifesciences Corp kekal berdaya tahan, berkembang antara 5% hingga 10% manakala pesanan daripada syarikat berpangkalan di Denmark, Ambu dijangka meningkat sebanyak 10% hingga 15%.

 

"Bagi pengeluaran besar-besaran Peranti Terapi Perubatan Nano (bagi rawatan kanser tekak, otak, paru-paru dan prostat), menggunakan teknologi kateter, kami mendapati bahawa pelanggan akan menerima laporan nilai baki pada September 2024.

 

"Selepas itu, kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan lagi.

 

"Berdasarkan pemerhatian, semuanya berada di landasan betul kerana doktor FDA telah pun mengesahkan kesemua 60 ujian klinikal terakhir (kadar kejayaan 100%) pada 1QFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini

 

Terdahulu, untung bersih separuh pertama 2024 sebanyak RM16.5 juta menyumbang 42% daripada ramalan tahun penuh firma itu dan 42.1% daripada anggaran konsensus. 

 

TA Securities berkata, pemulihan dalam segmen automotif dijangka lebih perlahan daripada jangkaan kerana pesanan daripada Stellantis berkemungkinan kekal tidak berubah pada separuh kedua 2024.

 

Bagaimanapun, pihaknya percaya Stellantis akan mula meningkatkan tempahannya pada 2025, selepas selesainya rombakan operasi Peugeot di Malaysia.

 

Selain itu, pihak pengurusan sedang giat mempelbagaikan asas pelanggannya dengan memperoleh pelanggan baharu, dan tidak hanya bergantung kepada satu pelanggan sahaja.

 

"Pengurusan berkongsi bahawa Supercomnet kini berada di peringkat akhir audit dengan bakal pelanggan baharu.

 

"Jika berjaya, kami percaya projek ini akan mula menyumbang kepada hasil 4QFY24 atau menjelang 1QFY25," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.73 sesaham.- DagangNews.com