Supermax dijangka rekod keuntungan bersih tinggi - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Supermax dijangka rekod keuntungan bersih tinggi - CGS CIMB


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Supermax Corp Bhd. dijangka merekodkan keuntungan bersih yang lebih kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2021 yang akan diumumkan akhir bulan ini. 

CGS-CIMB Research berkata, prestasi ini didorong oleh jualan sarung tangan yang tinggi, skala ekonomi lebih baik dan harga purata jualan lebih tinggi. 

"Dengan peningkatan mendadak kes COVID-19 di seluruh dunia, permintaan terhadap sarung tangan getah semakin melonjak hingga mendorong peningkatan pesanan semasa Supermax sehingga akhir tahun kewangan 2021. 

"Kami juga memahami pembeli terbesar (termasuk agensi kerajaan dan bukan kerajaan) bersedia membayar deposit sehingga 30 hingga 50% bagi menjamin pesanan mereka," katanya dalam nota penyelidikan. 

Firma penyelidikan itu menganggarkan ASP Supermax akan terus meningkat sehingga suku pertama 2021 berbanding sebelum ini, akhir tahun ini. 

"Ini mengambil kira penggunaan yang tinggi dalam sektor perubatan dan bukan perubatan serta kenaikan harga bahan mentah nitrile butadiene. 

"Selain itu, pengguna juga terus menyimpan stok bagi mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan," katanya. 

CGS-CIMB menjangkakan Supermax akan merekodkan pertumbuhan ASP yang rendah bagi bulan ke bulan memandangkan ASP semasa syarikat itu mendahului pengeluar lain dalam sektor sarung tangan getah.  

Pagi ini, saham Supermax susut 0.58% kepada RM10.30 sesaham, setelah ditutup pada RM10.36 petang semalam. - DagangNews.com