KUALA LUMPUR 29 Mei - Supermax Corp Bhd diunjur kembali mencatatkan keuntungan pada separuh kedua 2024 didorong keseimbangan permintaan-bekalan dalam segmen sarung tangan.
RHB Investment berkata, lebihan bekalan dalam industri dilihat berkurangan secara beransur-ansur dan pada masa sama menjangkakan industri sarung tangan mencapai kesimbangan permintaan-bekalan.
Katanya, purata harga jualan (ASP) sarung tangan dijangka meningkat pada 4QFY24 memandangkan harga bekalan mentah yang lebih tinggi.
"Secara keseluruhannya, kami berpandangan bahawa permintaan sarung tangan akan terus meningkat pada suku akan datang apabila tahap inventori pelanggan terus mencatatkan pengurangan.
"Ini adalah di atas tahap inventori sarung tangan mereka (disimpan sejak 2020) menghampiri tarikh luput (jangka hayat biasa untuk sarung tangan antara tiga ke lima tahun)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, rugi bersih kumpulan itu pada 3QFY24 mengecil kepada RM686,000 berbanding kerugian bersih RM39.92 juta setahun lalu didorong margin keuntungan yang lebih baik kepada pengurusan kos yang cekap yang termasuk memberi tumpuan kepada barisan pengeluaran yang lebih cekap
Bagaimanapun, hasil suku tahunan susut 18.63% kepada RM143.01 juta daripada RM175.74 juta pada 3QFY23 disebabkan oleh permintaan sarung tangan yang lemah kerana pelanggan telah terlebih stok semasa penularan wabak.
Firma penyelidikan itu berkata, dinamik permintaan-bekalan industri terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan didorong kitaran pengurangan stok yang semakin berakhir dan meningkatkan keterlihatan pesanan serta pelanggan lebih menerima kenaikan harga.
Katanya, perbelanjaan operasi kumpulan adalah lebih rendah dari tahun ke tahun disebabkan usaha pengursan kos dibantu penutupan kilang-kilang lama.
"Kami menjangkakan struktur kos meningkat sedikit pada suku akan datang berikutan harga getah asli yang lebih tinggi tetapi diimbangi harga gas asli yang stabil," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.01 sesaham. - DagangNews.com