Surat buat Don Corleone | DagangNews Skip to main content

Surat buat Don Corleone

Kehadapan Capi Di Tutti Capi atau Ketua Segala Ketua, Don Corleone, semoga hidup 1,000 tahun lagi dan makmur semakmurnya di Sicily, Itali.

Surat ini adalah susulan daripada arahan tuan Consigliere agar kami membuat laporan terkini mengenai operasi sedia ada La Cosa Nostra di Malaysia.

Laporan ini akan menunjukkan betapa pengaruh La Cosa Nostra semakin menurun dan kemunculan satu lagi kumpulan, yang memerlukan pandangan Don Corleone sama ada kita berundur atau menjalin pakatan.

1. Kumpulan Baharu

Kami mengesan kewujudan kumpulan baharu ini sejak lima tahun lalu, dan dilihat cukup teratur siap dengan bala tentera maya, yang memiliki dua matlamat iaitu pertama, memberi persepsi negatif terhadap musuh mereka dan kedua, mempengaruhi orang untuk menyertai mereka.

La Cosa Nostra yang kita warisi dari tanah ibunda Sicily menekankan kerja secara senyap-senyap dan etika ini kami pegang teguh di sini, walaupun berpuluh ribu kilometer jaraknya. Beroperasi senyap-senyap bermaksud kita hanya berurusan dengan orang yang ada urusan dengan kita saja dan orang lain tidak tahu.

Kumpulan baharu yang kami maksudkan di sini berkelakuan berbeza sama sekali dengan mana-mana kumpulan yang pernah kita berurusan di seluruh dunia. Kumpulan ini mudah dikenali. Bila mereka mahu masuk ke kelab malam, mereka memperkenalkan diri sebagai 'Kuyat’. Kaedah serupa diguna bila mereka mahu memasuki kawasan larangan kerajaan.

2. Operasi Niaga

Kami masih kekal dengan operasi peras ugut, perlindungan wilayah, perjudian, persundalan dan mempengaruhi wanita sunyi mendepositkan wang, dengan kerjasama rakan kita dari Afrika.

Don Corleone, bagi menjawab soalan tuan dalam surat terdahulu, kami ingin menegaskan bahawa kami atau sekutu kami, tidak terbabit dalam kes mendobi haiwan dan manusia yang mendapat liputan besar di seluruh dunia.

Kami masih kekal dengan operasi mendobi wang sahaja walaupun kami akui semakin menyusut disebabkan nilai Ringgit yang kian menurun berbanding dolar Amerika.

3. Kod Berpakaian

Kami juga ingin menjelaskan La Cosa Nostra cawangan Malaysia kini menitik beratkan soal disiplin dan kod berpakaian kepada anggota-anggota, sama seperti amalan di Sicily. Anggota tidak dibenarkan berpakaian baju ketat, berlengan pendek dan rambut tidak boleh panjang, apa lagi hipster belah tepi.

Pesanan Don Corleone agar kita memiliki ketrampilan korporat sentiasa dijunjung, sebab itu La Cosa Nostra memberi 'subsidi spa’ iaitu mencuci kedut dan memutihkan kulit kepada semua anggota sekali sebulan.

Elaun khas membeli baju sut juga disediakan kepada yang memerlukan, tetapi anggota kita digalakkan mengambil saja dari mana-mana butik yang di bawah perlindungan kita, asalkan tidak melebihi RM2,000 harga sepasang sut termasuk tali leher.

4. Aduan pelanggan

Sebilangan besar pelanggan sedia ada kita, terus setia dengan membayar wang perlindungan bulanan kepada La Cosa Nostra tetapi beberapa kes telah dilaporkan bahawa kumpulan Kuyat sudah mula menceroboh wilayah kita.

Sebagai rujukan, kumpulan Kuyat ini beroperasi berbeza sama sekali dengan cara lama La Cosa Nostra. Biasanya bila kita hendak sesuatu, kita beritahu dan kita ambil. Mesej sampai. Bahawa kita kotakan kata.

Kumpulan Kuyat ini, bila hendak sesuatu, mereka akan beri pelbagai alasan. Bila pelanggan sudah mematuhi permintaan mereka, alasan berkenaan diabaikan saja.

5. Rumusan

Merujuk kepada pembentangan di atas mengenai situasi semasa La Cosa Nostra di Malaysia, kami tidak pasti apakah La Cosa Nostra boleh meraih manfaat atau tidak bagi jangka pendek atau panjang.

Faktor ekonomi dunia memberi impak kepada nilai tukaran wang, yang menyulitkan kami mencapai sasaran KPI ditetapkan oleh Tuan Consigliare sebanyak RM20 juta sebulan.

Keadaan menjadi lebih perit dengan kemunculan kumpulan Kuyat yang kelihatan lebih kuat dari mana-mana kumpulan dunia. Adalah menjadi cadangan kami agar La Cosa Nostra di Malaysia dibubarkan, dan kami dibenarkan kembali ke Sicily atau berhijrah ke Amerika Syarikat semula.

Mohon Don Corleone dapat mempertimbangkan laporan ini dan menjawab menerusi WhatsApp agar kami tidak perlu menunggu lama jika menggunakan kaedah surat-menyurat.

Sekian, terima kasih Don Corleone.

Yang benar,

Don Hardy

--------------------------------

DISCLAIMER:

Artikel Merrepak ini menggunakan inspirasi filem The Godfather dan bersifat satira semata-mata, tiada kena-mengena dengan yang hidup atau sudah mati. Ia juga tidak sama sekali menggambarkan wujud elemen Mafia di Malaysia secara terang atau selindung. Selamat berehat di hujung minggu!