Suruhanjaya Sekuriti beri jaminan sentiasa pantau pasaran modal kepada Anwar | DagangNews Skip to main content

Suruhanjaya Sekuriti beri jaminan sentiasa pantau pasaran modal kepada Anwar

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) menegaskan pihaknya sentiasa memantau aktiviti pasaran modal dalam memastikan langkah yang adil dan teratur diambil dalam bursa saham.

"SC sentiasa memantau aktiviti pasaran dan akan terus melakukannya. Seperti biasa kami akan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengekalkan pasaran yang adil dan teratur," kata SC, lapor Bernama.

SC berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kebimbangannya terhadap tuntutan yang mengaitkan dagangan dan keuntungan luar biasa baru-baru ini atas dasar kaunter itu ada kaitan dengannya.

Semalam, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dalam satu kenyataan menegaskan beliau tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam saham yang diperdagangkan secara aktif dan dikaitkan dengannya.

aaa

 

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pelabur untuk melabur dengan teliti dan tidak melabur berdasarkan kepada khabar angin.

"Ini adalah gambaran tidak baik terhadap keadaan ekonomi kita yang khabar angin seperti itu dapat menggerakkan pasaran.

"Sehubungan itu, saya menggalakkan supaya Bursa Malaysia dan SC untuk segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap setiap individu yang memanipulasi pasaran menerusi penyebaran khabar angin berkaitan politik yang berniat jahat," kata Presiden PKR itu.

SC adalah badan berkanun ditubuhkan pada 1 Mac 1993 mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dengan biaya kendiri yang memiliki kuasa menyiasat dan menguatkuasa pasaran modal di Malaysia.

Peranan utamanya adalah untuk mengatur dan memastikan pertumbuhan pasaran sentiasa dijalankan dengan objektif bagi melindungi pelabur.

Misi SC juga untuk mempromosi dan mengekalkan pasaran sekuriti serta derivatif yang adil, cekap, selamat dan telus, memudahkan pembangunan pasaran modal yang inovatif dan kompetitif.

SC mengatur semua entiti dan individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. - DagangNews.com