KUALA LUMPUR 19 Mac - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memulakan acara SCxSC 2024 dengan dialog pemimpin digital yang memberi fokus kepada empat bidang utama iaitu keselamatan data, kecerdasan buatan (AI), teknologi kawal selia dan keselamatan siber.
Sesi selama setengah hari itu menandakan siri pertama program SCxSC, bertemakan "Pandangan SCxSC: Dialog pemimpin digital mengenai teknologi baru muncul", dengan hampir 30 eksekutif peringkat C mengambil bahagian dalam acara tersebut.
SC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama peneraju pasaran modal mengendai peluang, cabaran serta trajektori masa depan teknologi baru muncul dalam sektor pasaran modal.
Katanya, mereka yang hadir terdiri daripada wakil pemain pasaran modal termasuk bursa, syarikat pengurusan dana, pemegang amanah, pengantara, broker dan bank pelaburan membincangkan topik seperti AI, blockchain dan teknologi kawal selia untuk pasaran modal.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin menekankan kepentingan penerimaan teknologi seperti blockchain serta AI selain memberi penekanan terhadap kepentingan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam inovasi bagi mengekalkan kelebihan daya saing dalam pasaran global.
"Perubahan tidak dapat dielakkan, dan menjadi tanggungjawab kolektif kita untuk menerimanya dengan hati terbuka, memacu ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan dan inklusif," katanya.
SC berkata, dialog pemimpin digital sulung itu juga menonjolkan penggunaan teknologi baru muncul di Malaysia, yang telah menunjukkan peningkatan produktiviti ketara, seperti penggunaan chatbot AI bagi meningkatkan perkhidmatan pelanggan serta meningkatkan produktiviti pekerja.
“Kepentingan penggunaan teknologi kawal selia turut ditonjolkan dengan fokus kepada kecekapan pelaporan, pematuhan dan pengurusan risiko.
"Peserta juga membincangkan mengenai perbankan terbuka dan potensi untuk industri utiliti seperti profil digital yang disesuaikan untuk pasaran modal," katanya.
Selain dialog itu, SC berkata, inisiatif akan datang di bawah SCxSC termasuk sesi meja bulat, pitch & match dan Sidang Kemuncak Fintech Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada suku keempat tahun ini.
Program SCxSC dilengkapkan lagi dengan inisiatif SC untuk membiayai bersama projek-projek inovatif melalui Dana Inovasi Digital (DIGID). Sehingga kini, 15 projek telah dianugerahkan geran bernilai RM6.24 juta. - DagangNews.com