KUALA LUMPUR 17 Jan - Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 yang dilancarkan hari ini akan menjadi tanda aras baharu bagi kerajaan menggubal polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat berikutan krisis kesihatan dan pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 yang diterbitkan pada 6 Ogos 2021, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun 10.3% kepada RM7,089 pada 2020 berbanding RM7,901 pada 2019.
Katanya, penurunan ini disebabkan oleh kehilangan atau pengurangan pendapatan isi rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani pandemik COVID-19.
"Pada masa sama, kedudukan pasaran tenaga buruh Malaysia juga terjejas teruk berikutan krisis kesihatan dan krisis ekonomi. Kadar pengangguran mencatat 4.5% pada 2020, tertinggi dalam sejak 1993, di mana sebelum ini kadar pengangguran negara sentiasa berada di bawah 4%.
"Bagaimanapun, pasaran buruh beransur pulih pada tahun lalu, disokong oleh peralihan ke fasa Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi yang menyaksikan kadar pengangguran telah menurun kepada 4.3% pada November 2021," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pelaksanaan HIES/BA 2022 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin.
Survei ini dilaksanakan secara temuramah bersemuka dan akan melibatkan seramai 92,000 isi rumah terpilih meliputi lebih 500,000 orang penduduk di seluruh negara.
Ia akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya kerajaan dalam menganalisis agihan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah mengikut domain yang lebih terperinci.
Bermula daripada Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2) sehingga RMK-12, dapatan HIES/BA telah digunakan secara menyeluruh dalam penggubalan dasar dan program pembasmian kemiskinan serta polisi yang berkaitan dengan kesamarataan pendapatan isi rumah.
Dalam pada itu, susulan dari perkembangan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Mustapa berkata,
data muktamad Banci Malaysia 2020 akan dikeluarkan dalam bentuk laporan secara berperingkat bermula dari Februari 2022 sehingga 2024.
Katanya, penerbitan pertama iaitu Penemuan Awalan Banci Malaysia 2020 akan diterbitkan pada Februari 2022.
Seterusnya, dijangka lebih daripada 1,000 laporan Banci Malaysia 2020 merangkumi 16 negeri, 160 daerah, 222 parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri akan diterbitkan secara berperingkat.
"Melalui Data Banci Malaysia 2020 ini, kajian mengenai taburan pendapatan, pendapatan isi rumah, disparity dari segi ekonomi, kemudahan asas, migrasi yang menyebabkan anak muda keluar ke bandar serta kesan kepada sektor ekonomi seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat dicerap dan dicerna dengan lebih holistik," katanya. - DagangNews.com