Swift Haulage meterai perjanjian pajakan tanah di Kerteh untuk bangunkan hab logistik | DagangNews Skip to main content

Swift Haulage meterai perjanjian pajakan tanah di Kerteh untuk bangunkan hab logistik

(Dari kiri) - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Datuk Wan Adnan Wan Derahman; Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan PMINT, Azmal Azaddin; Pengerusi Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar; Pengarah Eksekutif Swift Haulage di Wilayah Timur, Mazlan Abd Jalil; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage, Loo Yong Hui
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Swift Haulage Berhad merancang untuk membangunkan hab dan kemudahan logistik di tanah industri pajakan berkeluasan 7.28 hektar di Kerteh, Terengganu.

 

Kumpulan itu berkata demikian dalam satu kenyataan media mengumumkan pemeteraian perjanjian pajakan tanah industri tersebut dengan Perbadanan Memajuan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan bayaran RM4.38 juta.

 

Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu itu berkata hab tersebut terdiri daripada penggudangan, bangunan pejabat, depoh pengangkutan, gudang, bengkel dan bangunan lain yang berkaitan.

 

“Hab logistik baharu itu akan direka bentuk untuk menampung jumlah aset Swift yang semakin meningkat, serta peningkatan permintaan untuk perkhidmatan.

 

“Membangunkan hab logistik baharu di Kerteh akan menyokong operasi ini, yang sejajar dengan matlamat Swift untuk menjadi pembekal terkemuka bagi rumusan logistik komprehensif di Pantai Timur,” tambahnya.

 

Kumpulan itu berkata kedua-dua pihak bersetuju memeterai perjanjian tersebut untuk tempoh 30 tahun berkuat kuasa dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2053.

 

Perjanjian itu juga mempunyai pilihan untuk memperbaharui selama 30 tahun lagi tahun dari 1 Julai 2053 hingga 30 Jun 2083.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift, Loo Yong Hui hab itu dijangka meningkatkan reputasi cemerlang kumpulan sebagai penyedia pengangkutan pilihan untuk minyak dan gas, petrokimia dan industri berkaitan.

 

Apabila disiapkan, beliau berkata hab logistik itu akan meningkatkan perkhidmatan penghantaran eksport dan domestik dari Kerteh ke lokasi berbeza di seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura.

 

“Hab logistik baharu di Kerteh bersedia untuk meningkatkan kecekapan operasi kami dan membolehkan Swift menyediakan tahap perkhidmatan yang lebih tinggi kepada pelanggan.

 

“Di samping itu, kapasiti tambahan akan memastikan kami dapat menampung peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kami dan mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan pilihan di rantau ini,” tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham Swift Haulage kekal pada 46.5sen, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM413.8 juta. -DagangNews.com