Syarat 1 pengarah wanita wajar dilaksana di semua syarikat, bukan syarikat awam sahaja - Norshidah | DagangNews Skip to main content

Syarat 1 pengarah wanita wajar dilaksana di semua syarikat, bukan syarikat awam sahaja - Norshidah

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt - Pergerakan Wanita UMNO mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan kerana prihatin terhadap golongan wanita bagi memastikan peranan wanita diperkasakan bagi merealisasikan konsep Keluarga Malaysia. 

 

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, insentif untuk majikan menampung sebahagian gaji bulanan selama 12 bulan bagi mengambil pekerja wanita yang tidak bekerja melebihi setahun, ibu tunggal dan suri rumah adalah dipuji kerana ini mampu memberikan ruang yang luas terhadap golongan ini untuk diberikan kerja bagi mampu mengurangkan bebanan tanggungan keluarga.

 

''Kita sangat bersetuju apabila kerajaan menetapkan dengan mewajibkan sekurang-kurangnya seorang Pengarah wanita bagi semua syarikat awam mulai 1 September 2022.

 

''Perkara ini sepatutnya perlu bermula lebih awal lagi dan bilangan komposisi perlulah sekurang-kurangnya 2 kerusi dan ia tidak hanya terikat bagi syarikat awam malah terbuka untuk mana-mana syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),'' katanya dalam kenyataan di sini.

 

Norshida berkata, pemerkasaan dalam sektor keusahawanan dan ekonomi juga dipuji dimana kerajaan telah mula melihat kegigihan usaha usahawan wanita dan pihaknya menyokong sepenuhnya dimana RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi membantu penyertaan usahawan-usahawan wanita dalam dunia Keusahawanan dan tambahan RM230 juta untuk membantu dana pembiayaan menerusi program DANANITA dibawah MARA dan TEKUNITA dibawah TEKUN Nasional. 

 

Program MyKasih Kapital pula kata beliau, mampu membantu wanita yang bekerja dari rumah dan insentif ini sangatlah diperlukan bagi menyuntik modal asas perniagaan dengan program bimbingan sebagai bekal ilmu pengetahun bagi merancakkan penjanaan ekonomi dari rumah secara atas talian dan digital.

PM

Menurutnya lagi, pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 bagi pembayaran yuran taska dan tadika disambut baik bagi mengurangkan kos bebanan sara hidup keluarga. 

 

''Isu Seksual, isu keganasan terhadap wanita, isu rumah tangga, dan pertambahan rumah perlindungan khas wanita juga diketengahkan dan ditangani oleh kerajaan melalui peruntukan bajet 2022 adalah tepat dalam memastikan kes jenayah terhadap wanita dapat dilindungi dengan proaktif dan berkesan dan ini mampu membanteras isu tidak bermoral dalam negara.

 

''Dari segi kesihatan, kita bersyukur dengan cadangan Wanita UMNO diangkat mengenai risiko kesihatan dan isu keciciran sekolah. Pengedaran Kit percuma asas kesihatan diri kepada 130,000 remaja wanita kategori B40 akan menerima manfaat yang berguna daripada hasil ini dan mampu membina karater diri dengan yakin untuk ke sekolah,'' ujarnya.

 

Wanita UMNO kata Norshidah, berterima kasih atas kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang prihatin dan responsif yang memuaskan terhadap golongan wanita dan semestinya menjadi harapan seluruh wanita agar penderitaan dan kesusahan sebelum ini dapat terbela demi keluarga Malaysia. - DagangNews.com