Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - Lembaga Pengarah SMTrack Bhd hari ini menjelaskan bahawa Syarikat sedang dalam peringkat awal rundingan dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tiada persetujuan telah dicapai pada ketika ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, SMTrack berkata, sekiranya sebarang keputusan atau perjanjian dibuat berhubung dengannya, Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman yang diperlukan sebagai mematuhi Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad sewajarnya.
"Berkenaan dengan kenyataan “Terdapat juga khabar angin bahawa seorang “Datuk Seri” yang terkenal akan menjadi seorang lagi pemegang saham utama syarikat”, Lembaga Pengarah ingin menjelaskan bahawa Syarikat tidak mengetahui atau dimaklumkan tentang mana-mana “Datuk Seri” yang terkenal yang akan menjadi pemegang saham utama SMTrack," menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.
Semalam media melaporkan terdapat GLC yang sedang mengintai 10 peratus kepentingan dalam SMTrack, yang harga sahamnya telah mendapat daya tarikan dengan jumlah yang mampan.
SMTrack didagangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, pasaran yang direka untuk syarikat yang mempunyai prospek pertumbuhan.
BACA JUGA: GLC bakal jadi pemegang saham utama SMTrack?
Minat GLC itu dinyatakan dalam surat yang ditujukan kepada SMTrack selepas pertemuan antara wakil kedua-dua pihak.
Difahamkan cadangan pelaburan dalam SMTrack sedang dinilai di bawah polisi dan garis panduan pelaburan GLC.
Menurut sumber, GLC telah menyatakan secara rasmi hasrat untuk memiliki sekurang-kurangnya 10% kepentingan di dalam SMTrack, di dalam pertemuan dan secara bersurat.
Difahamkan, cadangan pelaburan tersebut kini sedang dinilai mengikut dasar dan garis panduan pelaburan GLC.
Perkembangan positif ini menyusuli pelaburan Tan Sri Kim Yew yang muncul sebagai pemegang saham terbesar setelah memperoleh 28.5 juta saham, bersamaan dengan 5.051% kepentingan di dalam SMTrack. -DagangNews.com