Syarikat gergasi teknologi global yakin Malaysia hab pelaburan digital menarik | DagangNews Skip to main content

Syarikat gergasi teknologi global yakin Malaysia hab pelaburan digital menarik

KELEBIHAN utama Malaysia adalah dari segi infrastruktur digital dan pertumbuhan kumpulan bakat. - Gambar hiasan oleh Jia Le

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Rata-rata syarikat teknologi global dalam industri Perkhidmatan Perniagaan Digital Global (DGBS) mengulangi keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan yang menarik, semasa Minggu Pelaburan Digital di Malaysia Tech Month 2021  (MTM’21).

 

Ini termasuk DownUnder GeoSolutions (DUG) yang mengakui kelebihan utama Malaysia adalah dari segi infrastruktur digital dan pertumbuhan kumpulan bakatnya di sini.

 

Menurut Pengarah Urusan DUG, Dr. Matthew Lamont, mereka memilih Malaysia sebagai hab digital disebabkan syarikat itu memperoleh peluang terbaik.

 

Matthew Lamont
Matthew Lamont

 

“Sangat mudah untuk kami mula bekerja di Malaysia - rakyatnya sangat peramah dan birokrasi di sini sangat jelas,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Difahamkan, penubuhan DUG di Malaysia bukan sahaja membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan di seluruh Asia Tenggara tetapi juga di Jepun dan Korea. 

 

Zon waktu Malaysia juga bersesuaian dengan Australia, iaitu lokasi terletaknya ibu pejabat DUG. 

 

DUG yang berperanan dalam mereka, memiliki dan mengoperasikan rangkaian super komputer  terbesar dunia, memiliki pusat data di Kuala Lumpur, Perth, Houston dan London di mana mereka telah menghasilkan  pelbagai kelengkapan mereka di Malaysia. 

 

Ini merangkumi alat penyimpanan dan pemindahan haba,  yang masing-masing telah dihasilkan di Kuantan dan Selangor. 

 

Bagi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), ini jelas menunjukkan kemantapan ekosistem teknologi dan inovasi Malaysia yang telah membolehkan  syarikat DGBS memperoleh sokongan dan kerjasama meliputi pelbagai aspek dalam aktiviti mereka. 

 

Industri DGBS merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi digital Malaysia. 

 

Syarikat GBS yang aktif dianggarkan menyumbang 20% daripada jumlah syarikat MSC Malaysia yang aktif.  

 

Mereka adalah penyumbang terbesar kepada prestasi keseluruhan MSC Malaysia dengan menambah  pelaburan sehingga 50%, eksport sebanyak 66% dan penciptaan pekerjaan sebanyak 61%. 

 

Terdapat 579 syarikat GBS di MSC Malaysia dengan 57% daripadanya adalah syarikat pelaburan  asing (FDI). 

 

Di samping itu, 30% daripada syarikat GBS milik asing adalah syarikat berstatus Forbes Global 2000 dan Fortune500, termasuk HSBC Electronic Data Processing, Dassault Systèmes dan Jabil Global Business Services.  

 

Naib Presiden Kanan Pelaburan dan Penjenamaan, MDEC, Raymond Siva berkata, MDEC baru-baru ini melancarkan ‘Strategi Pelaburan Digital Future5 (DIF5)’, rancangan lima tahun yang memberi tumpuan kepada lima teras utama untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi  digital Malaysia selari dengan Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital). 

 

Raymond Siva
Raymond Siva

 

“Selain menyasarkan untuk mewujudkan 50,000 pekerjaan bernilai tinggi, DIF5 memberi fokus kepada  lima sektor industri dan merancang untuk menarik 50 buah syarikat teknologi Fortune500 untuk melabur  dan membangun di Malaysia, yang mana industri DGBS menjadi salah satu industri utama.  

 

“Pengesahan daripada syarikat teknologi global, telah menunjukkan bahawa kita berada di landasan  yang betul untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya. - DagangNews.com