Syarikat induk myTukar, CARRO raih AS$360 juta dalam pusingan pendanaan SIRI C | DagangNews Skip to main content

Syarikat induk myTukar, CARRO raih AS$360 juta dalam pusingan pendanaan SIRI C

SINGAPURA 16 Jun  Carro, pasaran automotif terbesar di Asia Tenggara, mengumumkan bahawa ia telah meraih SS$360 juta dalam pusingan pendanaan Siri C yang diterajui oleh SoftBank Vision Fund 2, menjadikan ia ‘unicorn’ pasaran automotif yang pertama di Asia Tenggara.

 

Pelabur-pelabur penting yang terbabit di dalam pusingan pembiayaan kali ini termasuklah beberapa dana dari Indonesia yang terkenal termasuk EV Growth.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Carro, Aaron Tan berkata, ia merupakan pencapaian yang besar buat syarikat dan amat menghargai sokongan padu dari para pelabur yang mengesahkan keyakinan Carro terhadap kuasa transformasi AI dalam industri automotif untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang cemerlang.

 

Beliau berkata, memandangkan pendigitalan kini membentuk landskap global melalui tabiat pengguna dan amalan perniagaan baharu, ini adalah waktu yang amat mengujakan untuk pasaran kereta dalam talian hujung-ke-hujung seperti Carro.

 

Menurutnya, Carro akan menggunakan dana tersebut untuk mengukuhkan posisinya dalam pasaran dan mengembangkan penawaran jualannya di Indonesia, Thailand, Malaysia dan Singapura iaitu pasaran-pasaran yang telah mencatatkan pertumbuhan yang signifikan sejak setahun lalu.

 

"Carro juga akan meluaskan portfolio perkhidmatan kewangannya sebagai tambahan kepada pembiayaan pinjaman, serta mempercepatkan pembangunan keupayaan AI syarikatnya," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan di SoftBank Investment Advisers, Greg Moon berkata, Carro sedang melakukan transformasi ke atas industri automotif di Asia Tenggara dengan menyediakan pengalaman pembelian dan penjualan yang lancar untuk pengguna dan penjual kenderaan.

 

Beliau berkata, platform teknologi Carro yang dikuasakan oleh AI menawarkan pengguna perkhidmatan yang lengkap dan ketelusan sepanjang proses pemilikan kenderaan. 
 

MyTukar
Dari kiri, Aaron Tan, Pengasas & CEO Carro bersama Fong Hon Sum, Pengasas dan CEO myTukar.

 

Kali pertama SoftBank Group melabur dalam Carro adalah pada tahun 2016 melalui SoftBank Ventures Asia, cabang modal usaha niaganya, dan telah meneruskan sokongan terhadap inisiatif pertumbuhan Carro sejak itu.

 

Carro menyediakan perkhidmatan yang lengkap untuk semua aspek pemilikan kenderaan dan menggunakan teknologi yang dikuasakan AI untuk mentransformasi pengalaman pembelian dan penjualan kereta.

 

Ia telah mengasaskan pelbagai perkhidmatan inovatif seperti perkhidmatan pembelian kereta tanpa sentuhan yang pertama di Singapura, perkhidmatan langganan kereta pertama dan insurans kereta berasaskan tabiat dan penggunaan di seluruh rantau yang pertama.

 

Carro mengakhiri tahun kewangan berakhir Mac 2021 dengan pertumbuhan hasil melebihi 2.5x dan meneruskan EBITDA positif untuk tahun kedua berturut-turut. Carro juga turut diiktiraf sebagai syarikat yang paling pantas berkembang di Asia Pasifik pada tahun 2021 oleh The Financial Times dan Statista. - DagangNews.com